21 kakitangann JKR berjaya menamatkan pengajian di UTHM

BATU PAHAT – Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-21 menyaksikan seramai 21 kakitangan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel, di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan pada 21 Mei 2022.

UTHM kini sedang menerajui jalinan kerjasama industri rel bersama beberapa industri, institusi pendidikan tinggi dan JKR dalam merealisasikan pelan transformasi pengangkutan awam darat ini.

Melalui kerjasama tersebut, UTHM berhasrat menjadi universiti teknikal yang berupaya menggalakkan penyertaan penyelidik dan pelajar bersama industri rel bagi membuka pusat penyelidikan dan operasi rel di kampus UTHM Cawangan Pagoh, Johor.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, UTHM bersama Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pada 19 Disember 2018 lalu bagi meningkatkan peluang kerjasama dalam kemajuan kerjaya kakitangan antara institusi dan industri pembinaan.

MoA tersebut melibatkan kerjasama dalam program Penempatan Strategik Staf UTHM di JKR dan program Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel secara separuh masa.

Perjanjian kerjasama kali ini akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri yang mementingkan kualiti kerja berimpak tinggi dan memenuhi keperluan kerjaya kakitangan, sekali gus memenuhi keperluan dan kehendak keperluan program kejuruteraan yang di pantau oleh Lembaga Akreditasi Kejuruteraan (EAC) dan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Pensyarah UTHM, Ir. Ts. Dr. Raha Abdul Rahman telah diberi tanggungjawab sebagai penyelaras program bagi merealisasikan perjalanan program sarjana tersebut.

Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR Malaysia (CREaTE) telah menyediakan kemudahan kelas, penginapan, makmal dan fasiliti kepada pegawai JKR bagi menjayakan program sarjana itu.

Untuk rekod, Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 digubal bagi menyediakan teras-teras dasar dan strategi untuk mempertingkatkan daya saing ekonomi, memastikan keterangkuman dan kebolehcapaian, serta pada masa yang sama mengurangkan impak negatif sistem pengangkutan kepada alam sekitar.

Melalui perancangan strategik, kerjasama pintar dan komitmen daripada semua pihak dalam melaksanakan DPN 2019-2030, kerajaan Malaysia yakin akan mampu menyediakan sistem pengangkutan yang mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat.

Kerajaan melalui Dasar DPN ini telah merangka dan mensasarkan pembinaan lebih banyak jaringan keretapi dalam negara supaya dapat menandingi negara maju lain seperti Hong Kong, Singapura dan Jepun yang mempunyai jaringan keretapi terbaik dunia.

Dengan adanya jaringan ini akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi negara berlandaskan Total Oriental Development (TOD) yang akan memberi pelaburan jangka masa panjang, sekali gus memerlukan perancangan modal insan serta kepakaran dalaman bagi pembangunan negara dalam bidang keretapi.

Oleh itu, pihak UTHM dan JKR telah mengorak langkah bersama bagi melahirkan para profesional yang berkemahiran dan kepakaran tinggi untuk merealisasikan hasrat kerajaan ini.

Kerjasama dua pihak ini berjaya mencipta sejarah melahirkan 21 graduan dalam bidang Sarjana Sains Kejuruteraan Rel yang terdiri daripada pegawai profesional JKR. – MalaysiaGazette

Sumber : https://malaysiagazette.com/2022/05/23/uthm-lahirkan-21-graduan-sarjana-jkr/