Oleh Hamizah Mohd Safuan

BATU PAHAT, 15 Mac 2022 – Bagi merealisasikan usaha Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melahirkan satu graduan satu pensijilan profesional, Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) mendapat kerjasama dari rakan industri, Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menjayakan program “Microsoft Code; Without Barriers.”

Program yang ditaja sepenuhnya oleh Microsoft ini merupakan satu progam pensijilan profesional yang menyasarkan golongan mahasiswi dalam bidang Data dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).

Seramai 147 peserta daripada pelbagai fakulti telah menyertai program ini. Daripada jumlah tersebut, 105 peserta lulus peperiksaan pensijilan profesional Microsoft Azure AI Fundamentals.

Program ini diselia oleh Profesor Madya Ts. Dr. Aida Mustapha yang juga merupakan Microsoft Asia Pacific Women Leader in AI bersama Dr. Khuneswari Gopal Pillay iaitu jurulatih bertauliah AI.DA.

Menurut Dr. Aida, program ini diadakan bertujuan untuk membuka akses dan memberi peluang kepada peserta menceburi bidang teknologi melalui kemahiran digital.

“Ia juga merupakan satu inisiatif Microsoft untuk mengurangkan jurang jantina dalam era digitalisasi bersama rakan universiti dan industri lain di peringkat Asia.

“Melalui program ini, Microsoft (Malaysia) telah menaja sepenuhnya kos kursus pendek Microsoft Azure AI Fundamentals berserta baucar peperiksaan pensijilan Microsoft AI-900 yang berharga USD99 setiap satu,” katanya.

Kumpulan mahasiswi ini turut menyertai kempen Surface Your Creds anjuran Microsoft APAC (https://www.microsoft.com/en-sg/SurfaceYourCreds/home/) yang menawarkan hadiah utama Surface Laptop 4, hadiah kedua Surface Pro 7 dan hadiah ketiga Surface Go 3.

Melalui kempen ini mahasiswi yang telah berjaya mendapatkan sijil profesional AI-900 berkongsi pengalaman mereka mendapatkan sijil profesional Microsoft melalui platform LinkedIn. Perkongsian mereka boleh dicapai melalui tanda pagar #aida di LinkedIn atau https://www.linkedin.com/feed/hashtag/aida/.

Secara umum, program pensijilan profesional yang ditaja oleh Microsoft ini memberi banyak manfaat kepada pelajar dalam meningkatkan kebolepasaran graduan UTHM. Layari laman web https://aida.uthm.edu.my/ untuk senarai penuh sijil profesional Microsoft yang ditawarkan oleh AI.DA, FAST.