BATU PAHAT, 22 Apr 2022 – Sekretariat Sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (SYKTLI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyantuni 22 pejuang kanser daerah Batu Pahat melalui penganjuran program Iftar Kasih Ramadan Bersama Pejuang Kanser.

Penganjuran program oleh sekretariat yang terdiri daripada pelajar UTHM ini menjadi salah satu platform bagi menyebarkan kesedaran kanser kepada golongan muda sekali gus meraikan pesakit kanser yang dijemput agar terus kuat melawan penyakit tersebut.

Program berkonsepkan majlis iftar itu menyaksikan penyampaian sumbangan berupa makanan kepada pejuang kanser yang terdiri daripada individu dewasa dan kanak-kanak.

Sumbangan tersebut mendapat tajaan daripada Rotary Club of Bandar Penggaram Mandarin yang diuruskan oleh Presiden, Kho Lin Seng; Presiden Pengasas Christina Chin dan Setiausaha, Sim Choon Yong serta sumbangan kuih raya daripada Syarikat Azhar Food, Rengit, Johor.

Selain itu, sumbangan orang awam sebanyak RM3200 juga diberikan kepada kumpulan pesakit terbabit sebagai persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi.

Turut diadakan tazkirah Ramadan bertajuk ‘Kasih Ramadan’ yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Isa Salikin, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UTHM.

Menurut penasihat program, Dr. Nur Ilyani Ramli program anjuran SYKTLJ UTHM ini sememangnya memberi impak yang besar kepada pejuang kanser.

Beliau berterima kasih kepada kumpulan sekretariat yang terlibat kerana berusaha keras bagi menyantuni pejuang-pejuang kanser berkenaan.

“Mereka rasa dihargai diberi perhatian sebegitu dan turut gembira apabila berpeluang bertemu dan berkongsi pengalaman sesama rakan pesakit dalam majlis berbuka puasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Mohd Ikmal Izam Zaini turut melahirkan pengharapan agar legasi Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim dapat diteruskan oleh generasi muda dalam memberi sokongan moral dan emosi kepada pejuang-pejuang kanser.

Untuk rekod, Sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor UTHM ditubuhkan bagi memupuk kesedaran pelajar tentang penyakit kanser yang boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Semoga dengan adanya kesedaran yang tinggi terhadap bahaya penyakit ini, masyarakat mampu mencegahnya sebelum terlambat.

 

*Tazkirah ‘Kasih Ramadan’ daripada Ustaz Muhammad Isa Salikin, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UTHM

*Sumbangan makanan kesihatan tajaan Rotary Club of Bandar Penggaram Mandarin

*Sumbangan kuih raya tajaan Syarikat Azhar Food, Rengit