Sambutan hari raya tahun ini merupakan satu detik yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia setelah berakhirnya fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rata-rata mampu menarik nafas lega apabila tiada lagi larangan merentas negeri akibat pandemik Covid-19. Namun begitu, dalam keghairahan rakyat berbelanja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, segelintir daripada kita seakan hampir terlupa akan wabak Covid-19 yang masih berlegar dalam kehidupan kita. Mahu raya bergaya atau raya berjaga?

Sebelum bermulanya bulan Ramadan lagi sudah terpapar pelbagai promosi dan iklan jualan baju raya di sana-sini. Sudah pastinya ada yang mengambil peluang untuk menyediakan persiapan raya lebih awal agar dapat lebih fokus dalam melakukan ibadah pada bulan Ramadan. Bagi yang kurang berkemampuan pula, mungkin bagi mereka cukup sekadar memakai apa yang ada sahaja untuk sambutan lebaran pada tahun ini. Apa yang lebih penting adalah dapat menikmati suasana meriah berkumpul dengan ahli keluarga dan dapat berkunjung ke rumah jiran tetangga.

Dalam pada itu, tinjauan harga baju raya yang dijual secara dalam talian mencecah sehingga RM200-300 sepasang menyebabkan sebilangan rakyat marhaen merungut lantaran harganya yang mahal. Hakikatnya, masih terdapat banyak lagi pilihan lain yang boleh dibeli dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Namun begitu, masih terdapat segelintir golongan masyarakat yang ingin bergaya pada hari raya seolah-olah tiada hari esok. Berpakaian mahal dengan anggapan rekaan baju yang dibeli tidak sama dengan yang dijual di pasar malam. Akhirnya baju tersebut hanya dipakai sekali dua dan dibiarkan tergantung dalam almari sahaja. Tidak kira murah atau mahal harganya, biarlah alah membeli menang memakai.

Kita seharusnya berjaga-jaga daripada menurut kehendak dalam berbelanja. Bukankah puasa itu mengajar kita untuk mengawal hawa nafsu? Hari raya bukanlah hari untuk merayakan nafsu. Ingatlah kadar inflasi yang semakin meningkat sekarang bukan masa untuk kita membelanjakan wang sewenang-wenangnya. Kita perlu merancang setiap pembelian dan berbelanja mengikut keperluan, bukannya kehendak. Pengurusan kewangan adalah sangat penting pada waktu sekarang. Jika dilihat pada data statistik, tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih lagi rendah. Tambah membimbangkan apabila lebih 50 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi. Adakah anda salah seorang daripada mereka?

Di samping itu, sudah pasti ramai yang ingin beramah mesra dengan sanak saudara dan sahabat handai sempena lebaran yang bakal menjelang tiba. Sambutan hari raya pada tahun ini dijangka akan lebih meriah berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Maklumlah hampir dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman. Dalam kegembiraan menyambut kedatangan Syawal ini, kita haruslah berjaga-jaga dengan wabak Covid-19. Walaupun negara kita mula memasuki peralihan ke fasa endemik dan hampir kesemua rakyat Malaysia telah mengambil vaksin, jangkitan virus ini masih lagi berlaku. Sesuai dengan slogan “Kita Jaga Kita,” ingatkan diri anda dan keluarga untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta saranan Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari raya ini.

Sesungguhnya tidak salah hendak bergaya. Apatah lagi sambutan Aidilfitri hanyalah disambut sekali sahaja dalam setahun. Namun, dalam situasi semasa ini sebaiknya biarlah bersederhana dari segenap sudut. Ukurlah baju di badan sendiri ketika berbelanja supaya tidak menyesal di kemudian hari. Dalam masa yang sama juga, sentiasa berwaspada dengan wabak Covid-19 ketika menyambut hari raya nanti. Semoga kita semua dapat meraikan hari lebaran ini dengan kebersamaan dan kegembiraan.

 

Belanja berhemah elak pembaziran,

Dalam bergaya perlu berjaga,

Sambut lebaran penuh keinsafan,

Jangan dilupa pada yang tiada.

 

 

Oleh:

Farhana Abd Hamid dan Muhamad Radi Ahmad (Penulis Bersama)

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)