Oleh Ts. Dr. Mohd Shahir Yahya

PAGOH, 20 Mac 2022 Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh telah menghantar sekumpulan pelajar ke bengkel yang berkonsepkan reka bentuk dan inovasi bagi tahun 2022.

Lima pelajar daripada program Diploma Kejuruteraan Mekanikal terdiri daripada Muhammad Akmal Abdul Halim, Muhammad Haziq Zull Azri, June Lim Jia Jie, Chan Jun Wei dan Shaza Nur ‘Iman Shamri di bawah bimbingan dan seliaan Ts. Dr. Mohd Shahir Yahya yang merupakan wakil koordinator dari UTHM.

Bertemakan ‘Covid-19: How Innovation Can Be Cultivated?,’ kumpulan pelajar terbabit dapat menjana idea, mereka bentuk dan membentangkan hasil inovasi yang sangat membanggakan dan turut mendapat pujian dan pengiktirafan daripada semua penyelaras universiti terlibat.

Bengkel ini merupakan pengisian kepada program mobiliti antarabangsa yang dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

Penyertaan sulung ini telah membuktikan bahawa tahap kemahiran reka bentuk dan inovasi dalam kalangan pelajar program diploma telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Program mobiliti peringkat global ini telah diselaraskan oleh Tokushima University-UTeM Academic Centre (TMAC) dan dilaksanakan selama 12 hari bermula dari 21 Februari 2022 sehingga 4 Mac 2022  dengan penglibatan lapan universiti dan 53 pelajar secara keseluruhannya.

Selain UTHM, universiti lain yang turut serta terdiri daripada Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Tokushima dan Okayama Prefectural University, Japan, Universiti Brawijaya, Universitas  Negeri Malang, Universitas Ahmad Dahlan serta Universiti Islam Batik Surakarta, Indonesia.

Selain memberi pendedahan dan pemantapan  kemahiran insaniah dalam kalangan  pelajar UTeM dan UTHM, objektif program ini juga untuk menyediakan ruang dan peluang kepada setiap peserta untuk berinteraksi dan berkongsi idea serta maklumat inovasi sesama mahasiswa dari universiti antarabangsa yang terlibat.

Pihak PPD berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun akan datang untuk manfaat pelajar dengan menambah bilangan penglibatan mereka yang datang dari pelbagai bidang.