Fasa endemik: bagaimana meningkatkan pengudaraan,kualiti udara di surau dan masjid?

Kredit foto: indahnyaislam.my

Negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022 sebagai strategi keluar untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali kepada kehidupan hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19. Fasa peralihan ke endemik ini masih mewajibkan pelitup muka di tempat-tempat awam manakala aktiviti solat jemaah di masjid/surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal (tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR)). Berita ini tentunya memberikan kegembiraan kepada umat Islam khususnya, menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Virus Covid-19 merebak dengan lebih mudah dalam bangunan berbanding dengan luar bangunan kerana kepekatan zarah virus adalah lebih tinggi di dalam bangunan disebabkan pengudaraan yang terhad. Oleh itu adalah penting untuk memastikan pengudaraan sedia ada boleh membantu mengurangkan kepekatan virus di persekitaran dalam bangunan.

Bagi memberi panduan tentang pengudaraan dan kualiti udara dalaman, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah berjaya membangunkan Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) dalam tempoh pandemik Covid-19. Panduan tersebut telah mendapat persetujuan dan diluluskan oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 8 Julai 2021.

Berdasarkan panduan yang diterbitkan ini, beberapa langkah penting berikut boleh dipraktikkan bagi meningkatkan pengudaraan dan kualiti udara dalaman di surau dan masjid sempena bulan Ramadan yang bakal tiba.

Surau/masjid yang mengunakan sistem penyaman udara tidak berpusat (split-unit)

Penggunaan alat penyaman udara jenis tidak berpusat atau penyaman udara split-unit adalah perkara biasa di surau dan masjid. Walau bagaimanapun, ia tidak dapat memberikan pengudaraan yang mencukupi disebabkan sistem sebegini tidak mengunakan udara segar dari luar dan sistem penapis udaranya tidak mencukupi untuk menapis atau mematikan zarah virus di udara.

  1. Sekiranya cuaca dan kualiti udara luaran membenarkan, buka tingkap dan pintu sekerap mungkin untuk mewujudkan pengudaraan silang (cross ventilation) semula jadi dan agar udara segar dapat dibawa ke dalam ruang tersebut. Penggunaan alat penyaman udara perlu pada tahap minimum atau dipadamkan sekiranya tingkap dan pintu dibuka bagi tujuan pengudaraan.
  2. Sistem pengudaraan mekanikal atau kipas ekzos sekiranya ada, perlu dipasang setiap masa dan beroperasi pada kapasiti maksimum. Pintu dan tingkap yang boleh dibuka perlu dibiarkan terbuka bagi tujuan pengudaraan. Walau bagaimanapun, pintu dan tingkap yang berhampiran dengan kipas ekzos perlu ditutup bagi mengelakkan pintasan aliran udara.
  3. Penggunaan pembersih udara (air cleaners) mudah alih yang dilengkapi penapis MERV-13 atau lebih tinggi atau penapis HEPA boleh dipertimbangkan sebagai langkah tambahan untuk menapis dan membersihkan udara dalaman sekiranya tiada langkah jangka pendek lain yang boleh digunakan. Namun penggunaan pembersih udara mudah alih tidak boleh dijadikan satu-satunya kaedah untuk meningkatkan kualiti udara dalaman.
  4. Materi air (water seals) pada paip sanitari perlu kerap diperiksa untuk mengelakkan ketirisan udara dari paip ke dalam ruang solat. Selain itu, rekahan pada sesalur udara (air duct), paip sanitari dan dinding perlu diperbaiki bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang serupa.

Surau/masjid yang menggunakan pengudaraan semula jadi

Pengudaraan semula jadi bergantung kepada keadaan persekitaran luaran dengan suhu dan angin memainkan peranan penting bagi pengudaraan yang baik. Pengudaraan semula jadi akan menjadi terhad walaupun pintu atau tingkap dibuka tetapi suhu dalaman dan luaran adalah sama dan pada masa yang sama aliran angin adalah sedikit.

  1. Jangan tutup tingkap dan pintu sekiranya terdapat penghuni di dalam ruangan berkenaan. Tingkap dan pintu yang ditutup akan menyebabkan pengudaraan yang terhad. Walau bagaimanapun, tingkap dan pintu tidak perlu dibuka sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, kualiti udara persekitaran yang tidak baik atau keadaan yang berisiko dari aspek keselamatan dan kesihatan kepada penghuni.
  2. Bagi menambah baik kadar pengudaraan, lakukan pembersihan (purge) ruangan berkenaan sekerap yang mungkin dengan membuka semua pintu dan tingkap sepenuhnya terutama apabila tiada penghuni di ruangan berkenaan.
  3. Pengudaraan silang (cross ventilation) boleh dilakukan dengan membuka semua tingkap dan pintu di bahagian yang bertentangan dengan ruangan berkenaan dan pada masa sama memastikan pintu di ruangan berkenaan turut dibuka.
  4. Kombinasi penggunaan kipas seperti berikut bersama langkah-langkah di atas akan dapat meningkatkan kadar pengudaraan.
  • Halakan kipas ke arah tingkap atau pintu bagi tiupan angin keluar dari ruangan, atau
  • halakan jauh dari tingkap atau pintu bagi tiupan angin ke dalam ruangan.
  • Beberapa kipas boleh digunakan untuk menolak udara keluar dari satu tingkap atau pintu dan menariknya dari yang lain.
  • Bagi penggunaan kipas tunggal, halakan ia mengikut arah yang sama dengan pergerakan angin semula jadi. Perhatikan arah angin semula jadi yang mungkin akan berubah-ubah sentiasa (kaedah mudah adalah dengan melihat pergerakan langsir/ fabrik atau pergerakan cebisan kertas/ fabrik yang dipegang). Penggunaan kipas berkemungkinan tidak diperlukan dalam keadaan hari yang berangin.
  • Jangan halakan kipas terus dari seorang penghuni ke penghuni yang lain kerana ianya berkemungkinan akan meningkatkan risiko pemindahan virus di udara.
  • Penggunaan kipas ekzos boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan kadar pengudaraan sekiranya ada.

Perlu difahami bahawa beban virus (load virus) di persekitaran dalam bangunan bergantung kepada aktiviti yang dilaksanakan, bilangan penghuni dan juga pematuhan penghuni kepada amalan pemakaian pelitup muka. Jika tindakan penambahbaikan pengudaraan tidak dapat dilaksanakan, maka bilangan maksima penghuni perlu dihadkan. Kadar minima pengudaraan adalah 10 L/s bagi setiap penghuni. Paling utama adalah mengelakkan sebarang situasi yang mana virus senang menular iaitu crowded places (tempat sesak), close-contact (kontak rapat) dan confined spaces (ruangan terkurung). Risiko jangkitan adalah lebih tinggi sekiranya terdapat pertindihan tiga C ini di sesuatu tempat.

 

Artikel ini juga diterbitkan di Tinta Minda, BERNAMA, 21/03/2022 10:10 AM

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2063810#abc

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Azian Hariri

Industrial Hygiene Focus Group

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2022Rencana
Subscribe