Oleh Ts. Dr. Siti Nur Mariani Mohd Yunos

SUBANG, 19 Januari 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) menjalinkan kerjasama dengan APR-Aviation Training Centre bagi menjayakan komponen pembelajaran berasaskan kerja.

Bagi merealisasikan hasrat kerjasama itu, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) telah diadakan di pusat latihan terbabit yang berlokasi di Subang, Selangor.

Melalui MoA ini, UTHM dan APR telah bersetuju untuk menjalankan kerjasama dalam aktiviti akademik, khususnya berkaitan penempatan pelajar bagi latihan pelesenan penyenggaraan pesawat terbang serta lain-lain aktiviti yang akan dipersetujui bersama.

Pada majlis ringkas tersebut, UTHM diwakili Dekan FKMP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Bukhari Manshoor, manakala APR pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Amirudin Ab Ghani.

Sesi menandatangani dokumen perjanjian itu turut disaksikan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FKMP, Prof. Madya Ts. Dr. Muhd Hafeez Zainulabidin dan Pengurus Program APR, Amiranorkisza Amirudin.

Hadir sama, Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik,Ts. Dr. Syariful Syafiq Shamsudin, Ketua Panel Penyenggaraan Pesawat, Ts. Dr. Siti Nur Mariani Mohd Yunos dan Penyelaras Kolaborator, Ts. Qamarul Ezani Kamarudin serta pegawai daripada APR.

Untuk rekod, program aeronautik yang ditawarkan oleh FKMP ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning). Fakulti ini turut menawarkan laluan kepada graduan untuk mendapatkan kelayakan profesional dalam bidang penyenggaraan pesawat.