Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diiktiraf antara 200 universiti terbaik di peringkat antarabangsa dalam penarafan UI GreenMetric World University Rangkings (UIGWUR).

Penarafan UIGWUR yang melibatkan 956 penyertaan universiti dari seluruh dunia pada tahun ini menyaksikan UTHM berjaya berada di kedudukan ke-165 berbanding di kedudukan ke-238 pada tahun 2020.

Kedudukan tersebut menjadi kedudukan terbaik yang pernah dicapai UTHM sepanjang menyertai penarafan UIGWUR sejak tahun 2017.

Manakala bagi kedudukan IPTA/IPTS di Malaysia, UTHM naik ke kedudukan ke-10 berbanding kedudukan ke-11 pada tahun 2020 sekali gus menjadi antara 10 universiti terbaik di Malaysia.

Penarafan UIGWUR ini merangkumi penilaian operasi yang dilaksanakan oleh universiti berdasarkan elemen-elemen yang ditetapkan iaitu Tetapan dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan Iklim, Sisa, Air, Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan.

Menurut Pengarah Pejabat Kampus Lestari, Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir proses pengumpulan data dan penyediaan dokumen UIGMWUR 2021 telah bermula pada bulan Mac 2021 dan penghantaran dokumen kepada sekretariat telah disempurnakan pada 30 Oktober 2021.

“Pengumpulan data ini melibatkan Ahli Jawatankuasa GreenData yang terdiri daripada Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan Penyelaras Data Hijau daripada 27 pusat tanggungjawab/fakulti dan pusat kecemerlangan/pusat penyelidikan UTHM,” katanya.

Manakala bagi proses penyediaan dokumen dan laporan telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penarafan UI GreenMetric World University Rangkings universiti yang terdiri daripada staf Pejabat Kampus Lestari (SCO), Jawatankuasa Strategy in Operation (SIO) dan Jawatankuasa Sustainable Energy Champion Team (SECT).

Jawatankuasa SIO adalah terdiri daripada SIO Urus Tadbir Koporat, diketuai oleh Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, SIO Sisa dan Kitar Semula diketuai oleh Ts. Dr. Roslinda  Ali, SIO Air diketuai oleh Dr. Siti Nazahiyah Rahmat, SIO Perjalanan dan Pengangkutan diketuai oleh Dr. Mohammad Nasir Mohamad Taher, SIO Pendidikan dan Penyelidikan diketuai oleh Dr. Nur Adila Ab. Aziz, SIO Pembangunan, Iklim dan Daya Tahan diketuai oleh Profesor Madya Dr. Rozlin Zainal, SIO Kesedaran Latihan dan Komunikasi diketuai oleh Dr. Mohammad Azim Mohammad Azmi dan SIO Bangunan Hijau diketuai oleh Dr. Mohd Azuan Zakaria. Manakala penyediaan elemen tenaga yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa SECT diketuai oleh Dr. Mohd Noor Abdullah.

Setiap ketua SIO dan SECT akan menyelaras penyediaan data bagi setiap elemen-elemen penilaian UIGWUR dan dibantu oleh ahlinya.

“Kejayaan penarafan ini menunjukkan komitmen warga UTHM dalam membudayakan amalan kelestarian di kampus adalah semakin baik.

“Semoga kejayaan ini dapat memberikan aspirasi kepada warga UTHM dalam mempergiatkan lagi amalan kelestarian di dalam dan luar kampus.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan lagi imej UTHM dalam kalangan IPTA/IPTS tempatan dan di peringkat antarabangsa,” katanya.