Bagi memberi peluang kepada pelajar untuk aktif bersukan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Kejohanan Sukan Antara Kolej Kediaman UTHM (SUKOL) secara dalam talian pada 21 Oktober hingga 01 November 2021 lalu memandangkan negara masih berada dalam situasi pandemik Covid-19.

Penganjuran SUKOL ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada para pelajar UTHM untuk terus beraktiviti dan aktif walaupun berada di rumah masing-masing ataupun di kampus.

Kejohanan anjuran bersama Pusat Sukan Universiti (PSU), Kolej Kediaman Pagoh 3 selaku tuan rumah dan barisan Kepimpinan Pelajar Kolej-Kolej Kediaman (MKP) ini mempertandingkan lapan acara sukan iaitu Mobile Lagends : Bang Bang, PUBG Mobile, Pengacaraan Sukan, Tabata, Bola Jaring (Shoot), Silat Seni (Solo Kreatif), Badminton Trickshot Challenge, dan Jump Rope (Freestyle) yang kesemuanya dijalankan secara dalam talian.

Majlis Perasmian Kejohanan SUKOL 2021 yang turut diadakan secara maya ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail yang berlangsung pada 20 Oktober lalu melalui platform YouTube UTHMTV.

Manakala Majlis Penutup dan Pengumuman Pemenang Kejohanan SUKOL 2021 secara maya pula disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly pada 01 November lalu.

Kira-kira 323 orang peserta daripada lapan kolej kediaman UTHM menyertai pertandingan ini dan 68 orang pelajar terlibat sebagai penyelaras teknikal permainan serta ahli jawatankuasa pelaksana kejohanan.

Penglibatan pelajar-pelajar ini bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk mempelajari proses menganjurkan kejohanan sukan termasuk teknikal pertandingan, kepengadilan, pengurusan kejohanan dan kewangan.

Kejohanan kali ini menyaksikan Pelajar Tanpa Asrama (PTA) telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kejohanan dengan kutipan pingat empat emas dan tiga perak.

Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh Kolej Kediaman Pagoh 2 (KKP2) dengan kutipan pingat tiga emas satu perak dan empat gangsa.

Sementara itu, Kolej Kediaman Pagoh 1 (KKP1) pula berjaya memenangi tempat ketiga kejohanan dengan kutipan dua pingat emas dan dua perak.

PSU mewakili UTHM mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mengharapkan penganjuran pertandingan sukan seumpama ini dapat melahirkan atlet pelajar yang berbakat, mengeratkan kerjasama di antara warga universiti di samping memupuk budaya sihat dan cergas dalam kalangan mahasiswa UTHM.

 

 

    *Keputusan penuh SUKOL

Oleh :

Unit Kecemerlangan Pelajar

Pusat Sukan Universiti