Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT – Biarpun masih berdepan pandemik covid-19, Pasukan Sepak Takraw UTHM Tigers tetap komited menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melahirkan “The Thinking Athlete.”

Justeru itu, Pasukan Sepak Takraw UTHM Tigers dengan kerjasama Pusat Sukan Universiti (PSU) dan Alumni Pasukan Sepak Takraw UTHM Tigers telah menganjurkan Pertandingan Menimang Bola Sepak Takraw Tertutup Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2021 secara maya pada 4 hingga 6 September 2021 lalu bagi memperkasakan bakat sukan dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran kali ini agak berbeza dari edisi yang terdahulu dan mencabar kreativiti pasukan kerana acara dan majlis utama dijalankan secara maya bagi menyokong usaha pencegahan penularan virus Covid-19.

Tambahan pula para pelajar kini berada di rumah masing-masing maka ia memberi pengalaman baharu kepada urus setia dan peserta berkaitan pendekatan norma baharu penganjuran kejohanan sukan di universiti.

Penganjuran kejohanan ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar yang diketuai oleh Pengarah Program daripada Pasukan Sepak Takraw UTHM Tigers dengan dibantu oleh Pusat Sukan Universiti (PSU) dan Alumni Pasukan Sepak Takraw UTHM Tigers.

Ia dapat melatih kemenjadian mahasiswa dan menerapkan kemahiran insaniah sejajar dengan salah satu objektif universiti bagi membangunkan graduan kompeten, profesional dan entrepreneurial.

Keunikan kejohanan ini adalah para peserta perlu memakai pakaian bertemakan tradisional sebagai usaha mengekalkan warisan kebudayaan Malaysia agar terus subur dalam kalangan generasi baharu.

Kejohanan ini melonjakkan nama Muhammad Azim Jamil dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) sebagai johan, manakala naib johan pula jatuh kepada Muhammad Fayyadh An-Nur Noor Najhan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan tempat ketiga jatuh kepada Abdul Rahman Bin Suhaimi juga dari FTK.

Kejohanan ini disertai oleh 21 peserta daripada semua fakulti di UTHM melibatkan pelajar kampus induk dan kampus cawangan Pagoh iaitu FKAAB, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP), Fakulti Pendidikan Teknologi dan Vokasional (FPTV), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Pusat Pengajian Diploma (PPD).