Program Bakti Siswa UTHM beri peluang pelajar ceburi keusahawanan sosial

MUAR, 26 Nov 2021 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Yayasan UTHM telah melaksanakan “Program Bakti Siswa UTHM: Keusahawanan Sosial Bersama Komuniti” yang melibatkan beberapa kampung sekitar Pagoh, Bukit Pasir dan Bukit Gambir.

Menurut Yang Dipertua MPP sesi 2020/2021, Muhammad Faris Abdul Hadi program amal bakti yang bertemakan “sumbangan mahasiswa kepada masyarakat” ini adalah untuk memupuk rasa prihatin dalam kalangan mahasiswa sekali gus sebagai perpindahan ilmu merangkap pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti setempat.

“Program ini merupakan tunjang dalam memperkukuhkan lagi peribadi pelajar UTHM dalam menerajui serta memimpin diri sendiri, dengan melengkapkan personaliti bukan hanya berpegang pada status akademik yang cemerlang semata-mata tetapi dari sudut kesukarelawan.

“Program seumpama ini merupakan landasan yang terbaik bagi memperbaiki lagi kelompangan dalam diri pelajar terutama berkaitan nilai-nilai murni,” katanya.

Tambah Faris program ini berkonsepkan keusahawanan sosial yang mana mahasiswa boleh mendapatkan semula hasil sumbangan yang diberikan untuk dijual kepada orang awam dalam satu tempoh masa yang bersesuaian.

Setiap rumah akan diberikan beberapa batang pokok untuk ditanam dan dijaga dan hasilnya akan dikumpul semula dengan pembahagian yang dipersetujui oleh penduduk kampung.

Komuniti yang terpilih adalah terdiri daripada golongan B40, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal serta yang kurang berkemampuan.

“Setiap rumah akan diberikan 20 pokok cili dan 20 pokok limau kasturi serta peralatan menanam seperti baja, alat menyiram, peralatan menanam dan buluh pengikat untuk memastikan pokok yang diberikan berada dalam keadaan baik dan mampu memberikan hasil,” jelas Faris.

Melalui penganjuran program ini, MPP UTHM dapat memperkasakan dan mengeratkan hubungan antara warga kampus dan komuniti setempat supaya sumbangan golongan berpendidikan tinggi kepada masyarakat ini terus terjalin.

“Dengan cara ini juga, pelajar yang terlibat dapat mendekatkan diri dan lebih memahami kehidupan masyarakat dan keperluan pendidikan sepanjang hayat kepada mereka.

“Selain itu, program ini membuka peluang kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk menceburi bidang keusahawanan dan memperoleh keuntungan bagi menampung perbelanjaan di universiti.

“Penglibatan mereka juga dapat memupuk semangat sukarelawan selain dapat melatih dan memberi pendedahan berkaitan keusahawanan dalam pertanian.

Turut berlangsung, satu majlis ringkas perasmian penutup yang telah disempurnakan oleh Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya.Ts. Dr. Mohd Kamarul Zaki Mustafa bertempat di kediaman Ketua Kampung Jawa, Ahmad Arsam pada 26 November 2021.

Hadir sama, penasihat program, Profesor Dr. Abd Mutalib Leman; Penasihat MPP, Dr. M Faisal Hushim, penerima sumbangan serta pelajar UTHM.

Pada majlis tersebut, Provost juga turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Jawa, Panchor, Muar.

Categories
Hal Ehwal PelajarSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe