UTHM selesai serah bantuan komputer riba kepada pelajar berkeperluan

BATU PAHAT, 30 Sept 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar selesai mengagihkan bantuan komputer riba kepada pelajar bersasar dalam kalangan B40 bagi...

BATU PAHAT, 30 Sept 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar selesai mengagihkan bantuan komputer riba kepada pelajar bersasar dalam kalangan B40 bagi tahun 2020/2021.

Serahan bantuan kebajikan ini melibatkan 54 unit komputer riba sumbangan UTHM menerusi dana zakat dan endowmen UTHM, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sumbangan pihak industri. Keseluruhan nilai bagi bantuan komputer riba adalah sebanyak RM98,871.00.

Sesi serahan komputer riba telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, ketika berlangsungnya Program Malaysia Prihatin dan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan E-Sports Terbuka IPT Johor 2021 pada 10 April 2021 lalu.

 

 

Kemudian diikuti dengan beberapa siri penyerahan yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail.

Seterusnya edaran komputer riba telah dilaksanakan mengikut zon-zon dalam Semenanjung Malaysia oleh Pegawai Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang diketuai oleh Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Hawa Omar bermula 20 Ogos hingga 17 September 2021 secara berperingkat.

Menurut Hawa walaupun bekalan komputer riba di pasaran agak terhad ketika pandemik dan pihaknya menghadapi kekangan pergerakan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun misi penghantaran komputer riba akhirnya berjaya juga sampai ke tangan penerima.

Ketika serahan bantuan dibuat di kediaman pelajar, ibu bapa mereka menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak universiti yang sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar.

“Pihak UTHM berharap agar bantuan ini dapat melancarkan sesi pembelajaran pelajar secara norma baharu dan seterusnya menjadi motivasi untuk pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang,” kata Hawa.

Terkini, iklan permohonan komputer riba dan pelan data pelajar bagi tahun 2021/2022 telah dibuka mulai 15 September hingga 31 Oktober 2021.

“Sehubungan itu, semua pelajar kanan dan pelajar baharu kemasukan Semester I Sesi 2021/2022 yang berkelayakan adalah dipelawa untuk mengemukakan permohonan,” tambah beliau.

Pejabat Hal Ehwal Pelajar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak universiti, KPT, semua Ahli Jawatankuasa Kerja Pemberian Bantuan Peranti dan Pelan Data Pelajar yang terlibat dalam proses temubual pelajar, agensi-agensi penyumbang serta semua pihak yang telah menjayakan serahan bantuan ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
Hal Ehwal Pelajar

RELATED ARTICLE