Siri kuliah seni bina Islam tarik minat peserta dari 53 universiti

BATU PAHAT – Penganjuran siri kuliah Seni Bina Islam secara dalam talian anjuran Jabatan Senibina dan Reka Bentuk Asia, Kajian Senibina dan Penyelidikan (AsDARS) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan...

BATU PAHAT – Penganjuran siri kuliah Seni Bina Islam secara dalam talian anjuran Jabatan Senibina dan Reka Bentuk Asia, Kajian Senibina dan Penyelidikan (AsDARS) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Binaan (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 16 Julai lalu berjaya menarik penyertaan lebih 300 peserta dari 53 universiti antarabangsa termasuk Malaysia.

Siri kuliah bertajuk ‘Webinars Lecture Series on Islamic Architecture’ dengan kerjasama Jurusan Arsitektur dan Pusat Studi Arsitektur Islam (PSAI), Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS) itu diadakan sebanyak lima siri pada 25 dan 30 Jun serta 1,9 dan 16 Julai lalu melibatkan peserta dari Malaysia, Indonesia dan beberapa negara di Eropah.

Kuliah tersebut disampaikan oleh Profesor Madya. Dr. Nangkula Utaberta, Penyelidik Utama dari AsDARS dan Dr. Widyastuti Nurjayanti, Ketua Jabatan Senibina, Fakultas Teknik, UMS bersama Penulis Prolifik dan Ketua Pusat Senibina Islam, Andika Saputra sebagai Moderator.

Siri Kuliah yang disampaikan dalam bahasa Indonesia itu berlangsung lebih tiga jam pada setiap sesi. Dalam tempoh itu, penceramah dihujani pelbagai pertanyaan daripada peserta sekali gus menjadikan siri tersebut meriah dengan maklum balas positif.

Antara topik yang dibincangkan, Sumbangan Seni Bina Islam terhadap Kesalahfahaman Islam, Perumahan Islam di Malaysia, Masjid: Pusat Tipologi, Institusi dan Pembangunan Masyarat, Bagaimana Seni Bina Islam Dapat Belajar dari Perkembangan Prinsip dan Teori Senibina Moden, dan Rekonstruksi Seni Bina Islam dari Sudut Pandang Nilai: Sebuah Pemikiran Ke Hadapan.

Selain penyelidikan dan kolaborasi akademik, siri kuliah awam dan pelantikan pensyarah jemputan ini juga merupakan sebahagian daripada program pemindahan ilmu yang dilakukan oleh UTHM untuk pengembangan akademik dan profesional, khususnya yang berkaitan dengan seni bina Islam di Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara amnya.

Siri kuliah boleh dimuat turun melalui pautan berikut :

https://linktr.ee/seriwebinararsitekturislam

 

Categories
Antarabangsa

RELATED ARTICLE