Oleh  Sr. Dr. Nazirah Mohamad Andullah dan Dr. Nurul Hidayah Mohd Kamaruddin 

BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan persidangan antarabangsa, International Conference on Civil and Environmental Engineering for Sustainability (IConCEES 2021) untuk kali yang ke-6 pada 15 dan 16 November 2021 lalu.

Persidangan ini merupakan acara dwi-tahunan dan dijalankan sepenuhnya secara maya pada kali ini kerana pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara.

Bertemakan Realising Sustainable Development Goals Through Engineering, sesi ucaptama disampaikan oleh tiga pakar iaitu Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin dari Elite International College, Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir bersama Profesor Madya Dr. Nangkula Utaberta dari UTHM bagi menggantikan Profesor Dr. Magda dari  Cardiff-University, Wales yang tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh tersebut.

Prof. Roslan berkongsi berkaitan topik “Riverbank Failure in Relation to Soil Erodibility Classification: Case Study on Langat River, Malaysia” manakala PM Aeslina pula berkongsi tentang penyelidikan beliau bertajuk “Leaching of Heavy Metals from Waste Recycling in Building Materials” dan PM Nangkula dengan tajuk “Rethinking Masjid and Islamic Architecture: Between Value and Object Centered Discourse”.

Secara keseluruhan, sebanyak 108 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan oleh peserta yang hadir dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Australia dan Perancis.

Peserta tempatan turut melibatkan pelbagai institusi lain termasuklah Lembaga Getah Malaysia dan Jabatan Kerja Raya selain daripada universiti awam dan juga swasta. Pelbagai hasil kajian yang dibentangkan mengikut tema persidangan ini.

Menurut pengerusi persidangan, Profesor Madya Ts. Sr. Dr. Mustafa Anjang Ahmad persediaan rapi telah dibuat bersama ahli jawatankuasa.

“Semua ahli jawatankuasa telah bertungkus lumus untuk memastikan perjalanan persidangan berjalan lancar, bermula dari kerja-kerja promosi sehingga perlaksanaan ujilari persidangan.

“Pihak kami juga menerima maklum balas positif daripada peserta dan ini membuktikan persidangan ini sudah diterima oleh penyelidik dunia sebagai satu platform pembentangan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, penasihat persidangan Profesor Madya Dr. Rafidah Hamdan merangkap Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan FKAAB pula berkata penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan fakulti ini dipersada dunia sekali gus sebagai langkah berterusan medium perkongsian penulisan ilmiah.