PAGOH – Bagi melahirkan graduan TVET yang diperlukan oleh industri negara, kerajaan telah menyediakan satu platform alternatif pendidikan TVET khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan membangunkan sebuah kawasan hab pendidikan yang dinamakan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).

HPTP yang berkeluasan kira-kira 1000 ekar yang terletak di Muar, Johor dan kira-kira satu kilometer daripada susur keluar tol Pagoh Lebuhraya Utara Selatan menempatkan tiga universiti awam dan sebuah politeknik iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN).

Program-program yang ditawarkan di HPTP bermula dari peringkat diploma sehingga doktor falsafah.

Menurut Provost UTHM-Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Kamarulzaki Mustafa, satu ekosistem yang lengkap ditawarkan di HPTP yang mana pelajar yang telah tamat pengajian program diploma berkelayakan untuk terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya di UTHM dengan pengecualian kredit yang diberikan mengikut bidang program-program yang telah diartikulasi.

“Dengan menempatkan beberapa institusi dalam satu kawasan, para pelajar dapat berkomunikasi dengan lebih rapat, menjalankan program bersama seterusnya menggunakan dan memeriahkan fasiliti gunasama yang disediakan di HPTP,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan HPTP menyeru kepada para pelajar lepasan SPM 2020 baru-baru ini di seluruh negara dan Johor khususnya untuk meneruskan pengajian di peringkat diploma di HPTP ini sama ada di UTHM atau PTSN.

“Program-program yang ditawarkan di HPTP telah mendapat pengiktirafan badan akreditasi tempatan dan antarabangsa seterusnya memenuhi kehendak industri juga,” katanya.

Dr. Kamarulzaki juga turut mengucapkan syabas kepada pelajar lepasan SPM 2020 yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

“Walaupun pelbagai cabaran sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutamanya ketika pandemik COVID-19 melanda negara, sebahagian mereka berjaya mengatasi dan menempuhinya dengan penuh cekal.

Tambah beliau kejayaan bersejarah pelajar SPM 2020 ini tidak boleh berakhir begitu sahaja malah ini merupakan langkah pertama mereka dalam meneruskan penerokaan ilmu dan kemahiran untuk terus kekal relevan dalam pasaran tenaga kerja pada masa akan datang.

“Para pelajar lepasan SPM yang bersejarah ini diharap dapat terus mencipta sejarah peribadi dengan mencipta kejayaan dalam program TVET yang ditawarkan di HPTP.

“Gunakan peluang dan ruang yang ada untuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran demi masa depan yang cemerlang,” katanya.

  UTHM PTSN
Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diploma Teknologi Makanan
Diploma Kejuruteraan Awam Diploma Teknologi Kima

(Lemak & Minyak)

Diploma Kejuruteraan Elektrik Diploma Kejuruteraan Proses (Petrokimia)
Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Petrokimia)
Diploma Sains Gunaan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Instrumentasi
Diploma Teknologi Maklumat Diploma Kejuruteraan Kimia
Diploma Teknologi Animasi  
Laman sesawang https://ceds.uthm.edu.my http://ambilan.mypolycc.edu.my
Facebook PPDUTHM Politeknik Tun Syed Nasir Ismail
Instagram Ppduthm tunsyednasir_ptsn
Youtube Official.ppduthm