Memilih tidak pulang ke kampung, penuntut UTHM kongsi pengalaman beraya di kampus

Ketika umat Islam bersiap sedia menyambut kedatangan Syawal, sudah pasti terdetik dalam hati setiap perantau untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing dan berkumpul bersama ahli keluarga. Namun...

Ketika umat Islam bersiap sedia menyambut kedatangan Syawal, sudah pasti terdetik dalam hati setiap perantau untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing dan berkumpul bersama ahli keluarga.

Namun begitu sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan aktiviti merentas negeri dan daerah di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun ini.

Rentetan itu, lebih 600 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memilih untuk menyambut 1 Syawal di kampus sempena cuti Aifilfitri manakala lebih 3000 lagi pula memilih untuk pulang ke kediaman masing-masing.

Meor Luqman Nur Haqeem Mohd Asri, 20 berasal dari Taiping, Perak berkata dia tidak pulang ke kampung dengan alasan tidak mahu menjalani isolasi selama 10 hari seperti yang ditetapkan, selain ingin menyiapkan beberapa tugasan yang memerlukan capaian internet yang kuat.

Penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kampus Cawangan Pagoh itu juga menyatakan keputusannya beraya di kampus juga bertujuan untuk melatih diri menjadi mahasiswa yang matang, mempunyai ketahanan diri dan berdikari seiring dengan ciri-ciri keberhasilan graduan.

“Saya sangat teruja apabila dijemput oleh felo kediaman untuk bergotong royong memasak lemang.

“Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan saya untuk membantu memasak juadah raya bersama ahli keluarga di kampung,” katanya yang menyambut Aidilfitri bersama 260 pelajar di kampus Pagoh.

Sementara itu, Wan Muhammad Naquib Badrolhisham, 23 pelajar tahun akhir yang berasal dari Kuala Terengganu pula berkata dia memilih untuk kekal berada di kampus induk disebabkan rasa tanggungjawabnya yang ingin melihat rakan-rakan gembira dan ceria menyambut lebaran.

“Sebagai ahli Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Tun Fatimah (MKP), saya dan barisan ahli yang lain bersama pengurusan kolej telah membuat pelbagai persiapan seperti dekorasi raya, penyediaan juadah dan lagu raya bagi memeriahkan lagi suasana sambutan raya di kolej,” katanya.

Nik Zahiruddin Mohd Zamri, 22 pelajar tahun tiga pula berkata ini merupakan pengalaman pertamanya berjauhan dengan keluarga ketika sambutan Aidilfitri dan ia sudah pasti akan menjadi pengalaman yang manis untuk dikenang.

“Hampir gugur air mata ini kerana biasanya di pagi raya, saya bersama adik beradik yang lain akan mencium tangan kedua ibu bapa, namun berlainan pula kali ini kerana saya hanya mampu memohon ampun maaf melalui talian telefon,” katanya.

Menurut Zahiruddin, suasana beraya di kampus agak ceria walaupun negara berada dalam fasa PKP 3.0.

“Sebahagian daripada kami berpeluang menunaikan solat sunat aidilfitri di Masjid Sultan Ibrahim dengan kapasiti yang terhad.

“Manakala kolej-kolej kediaman pula dihiasi dengan pelbagai dekorasi raya yang dapat menaikkan lagi semangat penghuninya untuk menyambut hari kemenangan bagi umat Islam ini.

“Terima kasih kepada semua sahabat, felo, pengetua dan juga seluruh kepimpinan universiti yang bekerjasama memastikan sambutan hari raya kami di kampus ini lebih bermakna,” katanya.

Terdahulu, UTHM menerima sumbangan peribadi daripada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor yang juga Pro Canselor universiti khas untuk sambutan Aidilfitri.

Sebahagian sumbangan tersebut digunakan untuk menyediakan juadah raya kepada kesemua penuntut universiti ini yang menyambut 1 syawal di kampus.

  Meor Luqman (Tengah) bersama Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh dan rakan-rakan bergambar kenangan.

Zahiruddin (kiri) bersama pasukannya mengedarkan juadah dan duit raya kepada rakan-rakan.

 

Naquib (dua dari kiri) bersama rakan-rakan sekolej menikmati juadah raya yang disediakan.

Categories
Hal Ehwal Pelajar

RELATED ARTICLE