UTHM dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Penilaian APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) iaitu Akreditasi Pembelajaran Berasaskan...

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Penilaian APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) iaitu Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu.

Untuk rekod, MQA yang menjadi badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan tinggi negara sebelum ini telah memperkenalkan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning, APEL) bagi menyediakan laluan kemasukan alternatif kepada mereka yang memiliki pendidikan formal tetapi tidak mencukupi syarat kelayakan.

Ini bermakna mereka boleh menggunakan pengalaman terdahulu seperti pengalaman kerja dan kehidupan, latihan, pembelajaran bebas, kerja sukarelawan, hobi dan seumpanya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda atau sarjana di intitusi pengajian tinggi negara ini termasuklah UTHM.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) mengutamakan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi memastikan masyarakat mendapat peluang pendidikan merentasi peringkat umur, latar belakang bidang pendidikan, kemahiran, pengalaman dan peringkat pengajian.

“Sebagai tanda sokongan kepada agenda PSH ini, pihak kami komited menubuhkan Pusat APEL UTHM bagi meluaskan peluang masyarakat di Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan menggunakan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang telah dimiliki dalam bidang pekerjaan di sektor industri  serta perkhidmatan.

“Penubuhan Pusat APEL ini diharapkan dapat mengukuhkan penghasilan graduan TVET yang berkualiti seperti yang disarankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025, dan menyumbang kepada pembangunan sumber manusia di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, satu sesi penyerahan mock-up Pelantikan UTHM sebagai Pusat Penilaian APEL bagi Peringkat Ijazah Sarjana (APEL T-7) dan Sarjana Muda (APEL T-6) telah diadakan ketika berlangsungnya program Malaysia Prihatin Bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bertempat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor pada 19 Mac 2021 lalu.

Simbolik penyerahan mock-up melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran manakala UTHM pula diwakili oleh Datuk Wahid, dan turut disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Noraini bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Azme Khamis dan Pengarah Pusat APEL UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Saifullizam Puteh.

Categories
AkademikBerita Umum

RELATED ARTICLE