BATU PAHAT, 28 Mac 2021 – Walaupun negara masih di era pandemik, statistik tahun 2020 menunjukkan lebih 90 peratus graduan setiap fakulti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat tempat di pasaran kerja. Jumlah ini membuktikan program-program yang ditawarkan oleh universiti ini amatlah relevan dan menepati kehendak pasaran.

Bagi mempromosikan lagi universiti ini agar terus dikenali dan menjadi pilihan utama para pelajar di luar sana, UTHM meneruskan usahanya dengan menganjurkan karnival pendidikan secara maya ‘UTHM EDUFair 2021’ pada hari ini dan esok.

Bertemakan ‘Pendidikan untuk Semua,’ karnival secara maya ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan program pendidikan yang ditawarkan oleh UTHM, yang merangkumi program-program akademik perdana, program pendidikan berterusan serta kursus pendek.

Menurut Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, PM Ts. Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi merangkap pengerusi program, UTHM ingin memberi peluang kepada masyarakat  serta bakal pelajar khususnya pelajar Lepasan STPM, SPM atau setaraf untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pemilihan bidang pengajian yang tepat berdasarkan minat dan kecenderungan, peluang dan kerjaya masa hadapan.

“Karnival ini juga turut berkongsi maklumat tentang penajaan, biasiswa dan pembiayaan kewangan yang disediakan selain turut berinteraksi dengan masyarakat di luar sana secara maya,” katanya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mansor Othman selaku wakil rasmi Menteri Pengajian Tinggi turut serta menyempurnakan perasmian karnival ini.

Beliau dalam ucapannya menggalakkan masyarakat terutamanya pelajar lepasan SPM untuk menceburi bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) kerana ia mempunyai pasaran kerja yang cukup luas pada masa hadapan.

Menurut beliau, bagi memenuhi peluang pasaran pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, pihaknya melihat UTHM begitu komited dalam melahirkan lebih ramai graduan TVET, selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang terlatih dan berkemahiran tinggi.

“UTHM merupakan universiti perintis dalam bidang TVET dan turut memiliki tenaga pakar dari dalam dan luar negara, sekali gus layak menjadi universiti pilihan pertama kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini,” katanya.

Tambah beliau, bagi masyarakat yang memiliki pendidikan formal tetapi tidak mencukupi syarat kelayakan, mereka tetap boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UTHM mahupun intitusi pengajian tinggi yang lain di negara ini.

“Ini kerana UTHM sebelum ini telah dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Penilaian APEL iaitu Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi menyediakan laluan kemasukan alternatif.

“Melalui APEL, masyarakat boleh menggunakan pengalaman terdahulu seperti pengalaman kerja dan kehidupan, latihan, pembelajaran bebas, kerja sukarela, hobi dan seumpamanya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana,” katanya.

“Lantikan ini jelas memperlihatkan UTHM antara universiti yang menyokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat dan komited mengukuhkan proses penghasilan graduan TVET yang berkualiti seperti yang disarankan dalam 10 Lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025,” katanya.

Turut diadakan, sesi perkongsian tentang pembelajaran masa kini yang dilaksanakan oleh universiti ini, tips mudah untuk menjadi warga UTHM serta jelajah kampus secara maya bagi memperkenalkan masyarakat dengan persekitaran kampus yang lengkap dengan fasiliti untuk kegunaan warganya.