Kem Amalan Geomatik libatkan penyertaan industri, kongsi ilmu dan kepakaran bersama 441 pelajar

Seramai 441 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalani Kem Amalan Geomatik yang dijalankan secara dalam talian bermula...

Seramai 441 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalani Kem Amalan Geomatik yang dijalankan secara dalam talian bermula pada 1 hingga 13 Mac lalu.

Menurut penyelaras program, Sr Dr. Nazirah Mohamad Abdullah penganjuran kem yang dinamakan Geomatic Hybrid Camp ini agak berbeza sedikit daripada kebiasaan kerana ia melibatkan perubahan dari segi cara pengendalian dan penilaian amalan geomatik.

Geomatic Hybrid Camp yang dijalankan secara dalam talian selama enam hari ini melibatkan pembahagian dua kumpulan besar.

“Kumpulan pertama melibatkan 215 peserta yang mengikuti kem pada 1 hingga 8 Mac, manakala  kumpulan kedua pula seramai 226 yang dilaksanakan pada 9 hingga 13 Mac lalu dengan menggunakan aplikasi Zoom, Telegram dan juga WhatsApp.

“Para peserta turut diberi tiga tugasan individu dan satu tugasan projek secara berkumpulan dan mereka perlu membuat pembentangan hasil projek masing-masing untuk penilaian individu,” kata Dr. Nazirah.

Tambah beliau bagi memastikan konsep hybrid camp ini mencapai objektifnya, penilaian turut dilaksanakan secara bersemuka apabila mereka pulang ke kampus nanti.

Kem ini menjadi daya tarikan yang luar biasa apabila berjaya melibatkan indusri luar untuk memberi nilai tambah kepada para peserta.

Tenaga pakar daripada Petronas Global dan Institut Tanah dan Ukur Malaysia (INSTUN) telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka.

“Penglibatan industri Petronas mendapat maklum balas positif daripada para peserta kerana sebelum ini mereka hanya melihat bidang mereka tertumpu di daratan sahaja, tanpa mengetahui ia turut merangkumi industri luar persisir.

“Objektif utama penglibatan industri ini tercapai apabila keperluan seorang jurutera memahami kerja-kerja geomatik ini dirungkai dengan jelas dan tepat berdasarkan bukti,” katanya.

Tambah Dr. Nazirah lagi perkongsian daripada wakil INSTUN juga turut membantu para pelajar Geomatic Hybrid Camp dalam pemprosesan data ukur dan memperkenalkan peralatan serta teknologi geomatik terkini yang diguna pakai oleh industi diluar sana.

“Data ukur yang diberikan sebagai data projek pelajar merupakan data sebenar yang dikongsikan oleh INSTUN melalui bantuan daripada Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang.

“Data sedia ada ini diubah suai bagi kegunaan pelajar menghasilkan projek seperti pembinaan sekolah, padang sekolah dan juga hospital.

“Melalui kerjasama ini pelajar telah diajar berfikir sebagai seorang jurutera dengan memberi justifikasi lokasi projek yang mereka cadangkan,” ujar Dr. Nazirah.

Menariknya, para peserta turut dibekalkan dengan sijil penyertaan daripada pihak INSTUN di akhir program.

Dr. Nazirah mewakili pihak penganjur berharap jalinan kerjasama bersama industri seperti ini dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa.

 

 

 

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar

RELATED ARTICLE