UTHM kongsi ilmu, didik masyarakat guna semula sisa makanan

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina telah menganjurkan satu sesi perkongsian ilmu berkaitan penggunaan semula sisa makanan secara dalam...

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina telah menganjurkan satu sesi perkongsian ilmu berkaitan penggunaan semula sisa makanan secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet pada 26 Januari 2021 lalu.

Menurut Pengarah Program, Ts. Dr Roslinda Seswoya program tajaan Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan program berkonsepkan knowledge transfer yang dianjurkan bertujuan untuk memenuhi matlamat “Universiti untuk Masyarakat.”

Program dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat ini melibatkan kumpulan sasar seperti peserta dari SWM Environment, Majlis Perbandaran Muar dan Majlis Perbandaran Kulai.

Manakala peserta lain yang turut terlibat terdiri daripada pengusaha kantin sekolah, perunding kejuruteraan awam, guru sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi awam termasuklah staf serta pelajar UTHM.

“Penyertaan yang ramai menunjukkan masyarakat menyedari bahawa sisa makanan perlu diurus dengan baik,” katanya.

Beliau dalam sesi perkongsiannya membincangkan tentang pendekatan “Waste to Energy” iaitu satu konsep penghasilan tenaga daripada sisa.

Di dalam perkongsian tersebut, konsep “Waste to Energy” telah diperincikan melalui sistem berteknologi hijau yang terdiri daripada pencerna anaerobik untuk menghasilkan biogas daripada sisa makanan dan engin generator untuk mengubah biogas kepada elektrik.

Beliau turut menyentuh secara lanjut tentang pencerna anaerobik yang merupakan satu sistem biologi yang boleh digunakan untuk melupuskan sisa organik.

“Bahan organik akan dicerna oleh bakteria anaerobik dan menghasilkan biogas yang mengandungi gas metana (CH4) dan gas karbon dioksida (CO2).

“Di Malaysia pencerna anaerobik untuk sisa makanan telah digunakan di beberapa medan selera, manakala pelupusan effluen kilang minyak kelapa sawit pula turut dipraktikkan secara meluas menggunakan kaedah ini,” katanya.

Sesi perkongsian tersebut turut dibantu oleh Profesor Madya Dr Shahrul Azmir Osman, yang membincangkan tentang perbandingan enjin generator apabila biogas dan petrol dijadikan bahan api.

Dr. Roslinda juga berkata penganjuran program ini mendapat maklumbalas positif daripada peserta.

“Majoriti mereka menyokong perkongsian ilmu sebegini bagi membantu negara merealisasikan hasrat ke arah Bandar Rendah Karbon,” ujarnya.

 

Kredit Featured Image : notif.id

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar

RELATED ARTICLE