Oleh Sr. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

Perkembangan teknologi terkini menjadi satu anjakan utama kepada perubahan istilah ukur tanah kepada geomatik.

Secara dasarnya, istilah ukur tanah adalah merujuk kepada kaedah seni pengukuran bumi yang melibatkan profesion Juruukur Tanah. Menurut sejarah, bidang ukur tanah ini telah wujud sejak zaman Mesir Kuno lagi dan direkodkan sebagai satu profesion rasmi pada zaman Rom.

Pada era itu, kerjaya di dalam bidang ukur tanah adalah lebih tertumpu kepada Juruukur Tanah atau Juruteknik Ukur Tanah yang mana kerja-kerja yang dilakukan bertujuan untuk penentuan sempadan, ukuran hak milik dan kejuruteraan sahaja.

Kaedah pengukuran tanah turut berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan informasi. Perubahan tersebut termasuklah penggantian peralatan konvensional kepada peralatan yang serba otomatis dan elektronik, serta pengolahan data ukuran menggunakan sistem pengkomputeran sepenuhnya.

Tidak terhenti di situ, data ukur kini telah menjadi satu keperluan penting dalam pelbagai bidang seperti bidang perubatan, data sains dan penguatkuasaan, malah ia juga tidak terhad kepada penyediaan pelan atau peta sahaja.

Geomatik adalah gabungan daripada perkataan “Geo” dan “matik” yang bermaksud permukaan bumi dan ukuran. Istilah ini diperkenalkan oleh B.Dubuisson pada tahun 1969 bagi menggambarkan kepelbagaian peralatan dan teknik penentududukan yang digunakan dalam seni pengukuran, analisis, pengurusan dan pempaparan data spatial bumi serta alam bina.

Sistem penderiaan jauh, kartografi, Sistem Maklumat Geografi (GIS), geodesi, pemetaan utiliti, fotogrametri dan hidrografi merupakan antara disiplin utama yang melibatkan Geomatik. Kesemua disiplin ini memfokuskan kepada pendekatan bersepadu di dalam menghasilkan data pengukuran yang tepat untuk analisis spatial.

Melihat kepada peranan geomatik yang merentasi pelbagai disiplin menjadikan ia satu bidang yang sangat mencabar dan berpotensi dalam pasaran kerjaya yang menitikberatkan perkhidmatan berasaskan lokasi dan penentududukan yang tepat.

Ahli profesional geomatik kini turut terlibat dalam perancangan, pelaksanaan dan pengurusan aktiviti pengukuran selain daripada hak milik serta pembangunan (construction) tanah, seperti 3D modelling, penetapan arah kiblat, pengurusan bencana dan pencemaran serta kajian saintifik pergerakan bumi.

Secara dasarnya, kesemua contoh aktiviti baru ini adalah susulan daripada perkembangan teknologi satelit (GNSS), remote sensing, GIS, UAV dan pengimbasan laser pada masa kini yang semakin murah dan mudah digunakan.

Namun, lambakan data geomatik adalah tidak berguna, jika tidak diproses dan diolah oleh ahli geomatik atau juruukur yang berkemahiran. Seiring dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), juruukur kini diperlukan pula bagi mendalami data sains geospatial untuk kesejahteraan kehidupan (well being).

Semakin luas ruang lingkup geomatik semakin luas pasaran kerjayanya. Kini graduan lulusan geomatik boleh tersenyum lebar kerana hampir semua industri memerlukan kepakaran geomatik.

Ditambah lagi dengan pengetahuan dan kemahiran matematik, sains komputer, sistem maklumat, ukur, statistik, undang-undang dan perancangan yang dipelajari oleh para graduan, maka lebih banyak pilihan kerjaya yang boleh diceburi oleh mereka.

 

 

 

Sr. Dr. Nazirah Binti Mohamad Abdullah

Pusat Geomatik Gunaan Untuk Pencegahan Bencana (CAGeD),

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

&

Sr Nur Zurairah Binti Abdul Halim

Pakar Bidang Kadaster (Penawanan Data Terestrial dan 3D modeling),

Bahagian Kadaster, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia