Pengurusan alam sekitar penting elak banjir makin teruk

Oleh Prof Madya Dr Haryati Shafii – Januari 12, 2021 @ 11:01am / bhrencana@bh.com.my   MEMASUKI abad ke-21, tiada sebuah negara pun kebal daripada bencana alam. Antara negara banyak mengalami...

 

MEMASUKI abad ke-21, tiada sebuah negara pun kebal daripada bencana alam. Antara negara banyak mengalami gempa bumi ialah Jepun dan Indonesia yang turut dilanda tsunami.

Banjir besar pula kerap melanda Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, selain China, Florida, Amerika Syarikat (AS) serta Kanada.

Bencana alam mampu memberi kesan ke atas kehidupan secara langsung seperti kematian dan kerosakan harta benda, termasuk tempat tinggal, kenderaan, ternakan dan hasil pertanian.

Kejadian bencana alam dipengaruhi dua faktor utama, iaitu semula jadi dan manusia. Hujan lebat ekoran perubahan monsun dan tiupan angin antara faktor sukar dikawal. Namun, pengurusan dalam mengurangkan risiko akibat kerosakan banjir boleh dibangunkan.

Zahirnya, interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan akan memberikan faedah. Namun, jika dilakukan secara berlebihan, ia akan mengundang bencana.

Dalam keadaan semula jadi, alam sekitar mampu menyerap pencemaran sekiranya berlaku dalam kuantiti minimum.

Bagaimanapun jika berlaku secara melampau, alam sekitar itu sendiri akan memulangkannya dalam bentuk bencana alam.

Prof Datuk Dr Jamaluddin Md Jahi menegaskan sebarang gangguan terhadap salah satu sistem alam sekitar atau sumber bukan sahaja meninggalkan kesan negatif kepada sistem berkenaan, bahkan kepada entiti lain dan seterusnya mengundang bahaya kepada manusia.

Kini negara berhadapan bencana banjir besar. Kelantan, Terengganu dan Pahang seakan-akan lumpuh dari segi jaringan perhubungan darat. Banyak kampung ditenggelami air.

Menurut amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), hujan lebat berlaku di beberapa negeri di Pantai Timur bermula 1 hingga 5 Januari lalu, diikuti ribut petir dan angin kencang.

Keadaan ini menyumbang intensiti hujan tinggi dan menyebabkan paras air di beberapa negeri seperti Sungai Pahang, Sungai Galas, Sungai Kelantan dan Sungai Terengganu melimpahi tebing serta membanjiri kawasan rendah.

Intensiti hujan tinggi antara punca limpahan air sungai ke kawasan rendah. Namun, pembangunan pesat di kawasan hulu atau pedalaman turut menyumbang banjir besar.

Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa siri banjir antaranya pada 2014 di Kelantan. Bah kuning turut membawa lumpur daripada kawasan hulu jelas memperlihatkan berlakunya aktiviti pencerobohan hutan atau kawasan tanah tinggi untuk aktiviti pembangunan seperti pembalakan dan pertanian.

Hutan sebagai kawasan tadahan hujan sangat penting kepada keseimbangan ekosistem. Namun, kini hutan di pedalaman semakin keras diperkosa, akhirnya mengundang banjir lebih kerap, magnitud lebih besar dan kerugian harta benda serta nyawa.

Ekspoloitasi sumber alam tidak terkawal seperti penebangan hutan bagi tujuan pembalakan dan aktiviti pertanian boleh mengganggu ekosistem di persekitarannya.

Pada masa sama, sekiranya berlaku hujan dengan kadar intensiti tinggi, kejadian bencana seperti banjir sukar dielakkan.

Kejadian bencana alam sekitar, biasanya berlaku apabila terdapat pertentangan antara proses biofizikal dengan tindakan manusia mempunyai kadar ketidakseimbangan tinggi.

Ekosistem ialah sistem tindak balas antara manusia dengan alam sekitarnya. Sebarang perubahan meninggalkan kesan negatif kepada ekosistem akan meruncingkan tindak balas antara manusia dengan persekitarannya.

Penggunaan alam sekitar secara keterlaluan tanpa memikirkan keseimbangan boleh mewujudkan bencana mendesak terhadap kesejahteraan hidup manusia.

Sekitar 1970 hingga 1980-an, peningkatan kekerapan banjir di negara ini disebabkan faktor semula jadi, iaitu akibat perubahan monsun, terutama di Pantai Timur ketika musim tengkujuh.

Namun, dekad ini memperlihatkan kekerapan banjir turut dipengaruhi faktor manusia.

Penyumbang banjir besar juga adalah akibat hakisan sungai, kekurangan hutan sebagai kawasan tadahan hujan dan sistem perparitan tidak terancang.

Kesan banjir akan mengakibatkan kerugian dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda besar. Kos tahunan ditanggung kerajaan dalam persiapan menghadapi bencana banjir seperti menyelamat, pemulihan kemudahan awam dan mangsa banjir adalah sebahagian besar belanjawan tahunan untuk pengurusan bencana.

Negara kita bukan kali pertama berhadapan banjir besar. Malah, ia berulang lagi dalam tempoh singkat seperti pada bulan ini.

Kita seolah-olah tidak pernah belajar daripada sejarah. Mengambil contoh bencana banjir terbesar di Malaysia, iaitu banjir di Kelantan pada Disember 2014; Segamat dan Batu Pahat pada Disember 2006 serta Januari 2007 memperlihatkan kesan bencana menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat dan melumpuhkan infrastruktur.

Banjir ialah fenomena alam kerap kali berlaku dalam bentuk bencana dan membawa risiko tinggi kepada negara. Kekerapan banjir mengakibatkan kerugian ditanggung negara semakin meningkat.

Kajian Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) melaporkan bencana alam banjir perlu diberi perhatian kerana ia mengancam kehidupan dan ekonomi penduduk negara.

Jumlah kerosakan akibat bencana banjir dilihat semakin meningkat. Jika masalah ini tidak diatasi, jumlah kerosakan akan terus meningkat.

Kemusnahan dan kerosakan harta benda pasti mampu melumpuhkan keadaan ekonomi negara serta proses pemulihannya bukan sahaja membabitkan masa singkat, bahkan memerlukan perancangan dan usaha serta kerjasama untuk membangunkan semula ekonomi negara.

Akibatnya kerajaan perlu memperuntukkan dana lebih besar untuk memulihkan semula ekonomi negara disebabkan bencana banjir.

Bencana alam seperti banjir boleh berlaku bila-bila masa tanpa mengira kedudukan geografi negara. Tiada sebuah negara pun kini, boleh mengisytiharkan bebas bencana.

Bencana banjir kerap melanda Asia sejak kebelakangan ini dipengaruhi angin Monsun Timur Laut dan aktiviti manusia secara berlebihan.

Angin bertiup kencang turut membawa curahan hujan tinggi di beberapa negeri. Kejadian banjir banyak mendatangkan kerosakan kepada harta benda.

Peningkatan kerosakan disebabkan banjir terhadap harta benda boleh meningkatkan kos kerugian dan pada masa sama boleh memberi kesan relatif terhadap ekonomi negara.

Kerugian membabitkan jutaan ringgit terhadap fasiliti dan keseluruhan boleh melumpuhkan ekonomi negara. Masalah banjir perlu diatasi bagi mengurangkan risiko ditanggung negara. Perancangan pembangunan perlu dilakukan secara menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Eksploitasi hutan berleluasa perlu dihentikan segera. Pembinaan di kawasan bandar juga harus menekankan aspek pengurusan alam sekitar dengan menyediakan longkang dan saliran baik.

Pengurusan ini penting kerana impaknya sangat besar yang boleh mengundang kepada bencana banjir, bahkan mungkin semakin teruk.

Penulis adalah Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Jabatan Pengurusan Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/01/775216/pengurusan-alam-sekitar-penting-elak-banjir-makin-teruk

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2021Rencana

RELATED ARTICLE