Perebutan hak dan kuasa konservasi hidupan liar perlu ditangani segera

Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar KONSERVASI hidupan liar yang bertaburan di Malaysia adalah satu usaha untuk memelihara dan memulihara spesies-spesies hidupan liar yang sentiasa terdedah kepada ancaman, sama...
Astro Awani
Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar
KONSERVASI hidupan liar yang bertaburan di Malaysia adalah satu usaha untuk memelihara dan memulihara spesies-spesies hidupan liar yang sentiasa terdedah kepada ancaman, sama ada ancaman semulajadi ataupun ancaman yang lebih berbahaya iaitu dari manusia sendiri (antropogenik).
Dalam memperjuangkan agenda pembangunan mapan, kelestarian alam semulajadi dan mengejar status sebagai negara berpendapatan tinggi, hakikatnya, hidupan liar terus terdedah dengan ancaman seperti kemusnahan habitat, pencemaran alam sekitar, pembangunan fizikal, pemburuan haram dan lain-lain ancaman di negara ini.
Kerencaman isu konservasi di Malaysia
Menurut Laporan Kebangsaan Ke-6 Malaysia kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada Disember 2019, Malaysia dilaporkan memiliki 306 spesies mamalia, 742 spesies burung, 242 spesies amfibia, 567 spesies reptilia, lebih 2,000 spesies ikan dan 150,000 spesies invertebrata.
Malah, Malaysia memliki kawasan seluas 330,345 km2 (33.0345 juta hektar), pinggir pantai seluas 8,840 km, 879 pulau, dan kepelbagaian ekosistem seperti ekosistem bakau, terumbu karang, hutan hujan tropika, hutan paya tanah bencak, tanah tinggi dan pelbagai jenis ekosistem lagi di Malaysia.
Kekayaan kepelbagaian ini bukan hanya perlu dibanggakan pada bilangannya, dengan dilaung ‘Malaysia negara megabiodiversiti!’ semata-mata.
Kerencaman ekosistem dan hidupan yang ada ini, merupakan satu petunjuk bahawa penyelesaian isu konservasi ini juga merupakan satu isu yang sangat kompleks.
Penyelesaian yang digunakan atau bakal dibangunkan harus berdasarkan mekanisma yang sesuai dengan perubahan zaman, perubahan sosioekonomi masyarakat, integrasi, diplomasi dan interaksi pemegang taruh serta penggunaan teknologi seiring dengan zaman revolusi industri 4.0 pada masa kini.
Kerajaan Perlu Pantas Menangani Penularan Persepsi Isu Konservasi
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu-isu alam sekitar dan konservasi hidupan liar mula mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia dan sering dikongsi dan ditularkan di media sosial.
Ini merupakan satu perubahan yang positif pada amnya, kerana kesedaran dan komunikasi isu konservasi merupakan salah satu agenda penting yang diketengahkan di dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi antarabangsa dan juga Polisi Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 oleh Kerajaan Malaysia.
Malah agenda pendidikan dan kesedaran awam berkait konservasi ini disenaraikan di dalam tindakan pertama (Action 1.1, National Policy on Biological Diversity 2016-2015, muka surat ke-41) oleh kerajaan, menunjukkan kesungguhan dan komitmen negara untuk memperjuangkan perkara ini.
Namun risiko yang timbul dengan kesedaran yang memuncak ini ialah apabila masyarakat disogokkan dengan naratif yang bersifat persepsi semata-mata dan bukannya fakta. Ini yang berlaku di dalam beberapa isu hangat mutakhir ini melibatkan konservasi hidupan liar di Malaysia.
Badan-badan yang tidak terikat dengan kerajaan bebas mengeluarkan kenyataan dan mengajak masyarakat menyokong mereka melalui media sosial.
Hasilnya, agensi kerajaan di anggap seperti musuh masyarakat dan melanggar undang-undang negara.
Penularan mesej di aplikasi whatsapp yang diterima bertalu-talu agar di kongsikan kepada semua kumpulan whatsapp yang lain agar disebarkan persepsi bahawa agensi kerajaan telah melanggar undang-undang.
Di dalam menangani persepsi ini, pihak kerajaan seharusnya bertindak dengan cermat dan pantas untuk mematahkan serangan tidak berasas ini.
Di zaman media sosial ini, maklumat harus dikeluarkan dengan pantas sebelum persepsi meresap dan tersebar di media sosial.
Kenyataan yang dikeluarkan walaupun lewat beberapa hari setelah persepsi menjadi tular seharusnya dielakkan di zaman media sosial ini.
Jika perkara ini berterusan, semakin banyak persepsi yang akan timbul pada masa hadapan dan keyakinan masyarakat terhadap kebolehan mengurus oleh agensi kerajaan akan terhakis.
Masyarakat Perlu Memahami Bidang Kuasa Konservasi Hidupan Liar di Semenanjung Malaysia
Di dalam isu yang sedang ditularkan ini, kita harus faham bahawa sebagai sebuah negara berperlembagaan, bidang kuasa yang diperuntukkan bagi tujuan konservasi hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah termaktub di bawah Akta 716 (Akta Pemuliharaan Hidupan Liar).
Akta 716 ini memberi kuasa kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dalam usaha konservasi, pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan hidupan liar.
Terdapat juga beberapa akta lain yang turut terpakai, sebagai contoh Akta 686 iaitu Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 yang digunakan untuk menubuhkan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (National Wildlife Rescue Centre) di Sungkai, Perak.
Malahan, semua penyelidik dari dalam mahupun luar negara yang hendak menjalankan penyelidikan atau apa-apa program mengenai hidupan liar, perlu memohon kebenaran dan permit dari Jabatan Perhilitan sebelum memulakan kajian atau program.
Walaupun pada dasarnya, kajian dan program yang dijalankan itu akan membantu pihak kerajaan dalam usaha konservasi, tetapi itulah undang-undang yang harus dihormati.
Jadi, adakah dengan adanya undang-undang ini, sesetengah individu atau badan bebas boleh mengambil jalan mudah demi mencapai matlamat mereka?
Sudah tentunya tidak sama sekali. Memahami perkara ini sering dianggap tidak penting oleh masyarakat kerana tidak ramai yang minat untuk memahami akta dan bidang kuasa sesebuah agensi kerajaan.
Henti Politikkan Usaha Konservasi
Konservasi hidupan liar di Malaysia ini sudah sedia ada tenat, dengan jumlah tenaga kerja agensi yang tidak mencukupi, dana program konservasi yang tidak mampu mencapai sasaran kerja, kajian hidupan liar yang masih belum matang, teknologi yang terbatas, pakar hidupan liar yang semakin hari menuju kepupusan dan lain-lain perkara.
Seharusnya, di dalam kemelut dan cabaran konservasi hidupan liar yang semakin memuncak, tidak seharusnya kepentingan peribadi diutamakan. Apatah lagi cubaan menggunakan ahli-ahli politik untuk menyokong usaha-usaha ini.
Perkara ini, jika dibiarkan, akan menyebabkan kemusnahan sistem perundangan dan pengurusan hidupan liar di Malaysia.
Mana-mana permintaan atau permohonan yang ditolak oleh agensi berkaitan, boleh terus dibawa kepada perhatian ahli politik untuk diberikan perhatian khusus.
Benar, kita mahukan ahli politik yang cakna mengenai isu konservasi dan alam sekitar, kerana mereka yang akan memperjuangkan isu ini di dalam Dewan Undangan Negeri ataupun Dewan Rakyat.
Namun kita tidak mahu ahli-ahli politik ini hanya menggunakan isu tidak berasas untuk kepentingan politik mereka, dan menjejaskan usaha konservasi yang sebenar.
Tiba Masanya Pusat Kecemerlangan Hidupan Liar Negara Menjadi Sumber Rujukan
Isu konservasi hidupan liar bukan perjuangan kerajaan, universiti, NGO atau individu semata-mata. Ia merupakan satu isu nasional yang melibatkan pemuliharaan warisan semulajadi yang sangat bernilai.
Jika semua pihak ikhlas untuk memulihara hidupan liar, tidak timbul isu ia perlu dilakukan oleh agensi kerajaan, atau universiti atau individu sahaja.
Disinilah penting diwujudkan ruang diplomasi dan integrasi kepakaran untuk kebaikan bersama.
Satu entiti pemikir (think-tank) harus diwujudkan serta merta bagi menjadi satu entiti yang menjadi pusat rujukan isu konservasi hidupan liar negara.
Pusat Kecemerlangan Hidupan Liar Negara (National Wildlife Centre of Excellence) ini tidak melibatkan langsung pembangunan fizikal bangunan atau infrastruktur yang baru.
Ia hanya merupakan gabungan pemegang taruh yang menjadi pakar rujuk di dalam apa-apa sahaja isu dan program konservasi di Malaysia.
Di dalam pusat kecemerlangan ini, tidak seharusnya pihak Perhilitan sahaja yang terlibat, tetapi agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan lain-lain agensi di dalam kerajaan perlu dilibat sama.
Universiti-universiti Malaysia juga menyediakan puluhan pakar hidupan liar dari pelbagai bidang yang mampu menjadi ahli di dalam pusat kecemerlangan ini.
Ahli-ahli akademik seharusnya menjadikan peluang memberikan perundingan kepada kerajaan sebagai satu penghormatan dan sumbangan kepada negara, dan tidak seharusnya menjadikan perundingan ini sebagai sumber mengaut keuntungan.
Badan-badan bebas yang semakin hari tumbuh seperti cendawan juga merupakan salah satu pemegang taruh yang penting di dalam usaha konservasi di Malaysia.
Banyak NGO-NGO yang sememangnya berhasrat murni dan ingin melihat hidupan liar di negara ini terus terpelihara harus dilibat sama di dalam pusat kecemerlangan ini.
Saintis Masyarakat (Citizen Scientist) yang mempunyai kepakaran di dalam kumpulan hidupan liar tertentu seperti burung, ikan, mamalia dan lain-lain serta arif mengenai isu-isu konservasi yang melibatkan masyarakat setempat juga mampu memberikan sudut pandang yang unik kepada pusat kecemerlangan ini.
Konservasi hidupan liar yang bertaburan di Malaysia adalah satu usaha untuk memelihara dan memulihara spesies-spesies hidupan liar yang sentiasa terdedah kepada ancaman, sama ada ancaman semulajadi ataupun ancaman yang lebih berbahaya iaitu dari manusia sendiri (antropogenik).
Dalam memperjuangkan agenda pembangunan mapan, kelestarian alam semulajadi dan mengejar status sebagai negara berpendapatan tinggi, hakikatnya, hidupan liar terus terdedah dengan ancaman seperti kemusnahan habitat, pencemaran alam sekitar, pembangunan fizikal, pemburuan haram dan lain-lain ancaman di negara ini.
Gabungan semua pemegang taruh ini seharusnya duduk semeja dan membincangkan isu-isu hidupan liar negara yang semakin hari semakin runcing. Semua cadangan pembaharuan, program konservasi, cadangan pindaan peraturan dan lain-lain dapat dinilai dan dilaksanakan dengan holistik melalui pusat kecemerlangan ini.
Kita seperti masih di takuk yang lama dan masih memperdebatkan kuasa dan hak konservasi. Ini bukanlah isu baru yang timbul, tetapi anehnya masih tiada penyelesaian mutlak bagi hal ini.
Isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah mengenai pembangunan modal insan pakar masa hadapan, penggunaan teknologi, fokus kajian baharu seperti penyakit berjangkit hidupan liar, penambahbaikan program dan infrastruktur konservasi dan lain-lain. Marilah kita bersama dengan hati yang terbuka, berdiplomasi dan bekerjasama bagi mencapai matlamat sebenar konservasi dan bukannya matlamat dan kepentingan peribadi.

*Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar merupakan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Astro Awani, 10 Januari 2021, 12:14 MYT
Categories
Keratan Akhbar 2021

RELATED ARTICLE