Rejimen Askar Wataniah merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarelawan Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat untuk membantu Angkatan Tentera Darat semasa darurat atau ketika berada di dalam medan peperangan.  Selain itu,  Askar Wataniah juga berperanan membantu Angkatan Tentera Darat di dalam operasi keselamatan dan membantu pihak berkuasa awam semasa bencana alam.

Keterlibatan anggota masyarakat di dalam pasukan Askar Wataniah amatlah digalakkan.  Masyarakat yang berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan boleh menyertai pasukan sukarelawan Askar Wataniah ini.  Keterlibatan masyarakat dalam perkhidmatan sukarelawan Askar Wataniah ini amat penting dalam membantu mempertahankan negara ketika diperlukan seterusnya dapat memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan ketenteraan kerana masyarakat setempat lebih memahami kawasan mereka sekiranya tugasan berada dalam lingkungan kawasan harian mereka.

Peluang menganggotai Askar Wataniah memberikan pendedahan kepada tugasan dan tanggungjawab sebenar seorang anggota tentera.  Lantaran itu, ia dapat mengelakkan persepsi yang kurang tepat oleh masyarakat di luar tentang tugas sebagai seorang anggota tentera walaupun ketika negara berada dalam keadaan aman. Ini berlaku di negara jiran kita iaitu Singapura yang mana semua rakyatnya wajib menyertai pasukan simpanan selama dua tahun.

Suara-suara negatif dan dangkal terhadap anggota tentera dapat dielak jika rakyat faham tanggungjawab tentera yang perlu sentiasa cergas mental dan fizikal dan sentiasa siap siaga untuk sebarang operasi atau bencana yang melanda negara.  Setiap perkara yang berlaku di dalam pasukan tentera tidak boleh dihebah keluar tetapi masyarakat yang ingin tahu dan merasa mempunyai tanggungjawab kepada bangsa dan negara harus tampil menawarkan diri menganggotai Askar Wataniah. Tidak dinafikan kemungkinan terdapat anggota yang culas namun peratus mereka sangat kecil berbanding bilangan angkatan tentera yang mencapai ratusan ribu.

Pelbagai bentuk latihan ketenteraan disediakan kepada anggota masyarakat yang berminat menyertai pasukan ini.  Rejimen Askar Wataniah Siri 500 mempunyai kem latihan di seluruh negara.  Latihan-latihan ini secara khususnya dapat membentuk jati diri dan meningkatkan tahap disiplin sebagai seorang individu.  Rasa kebertanggungjawaban terhadap bangsa dan negara juga akan terpupuk dengan sendirinya.  Selain itu, ia dapat melahirkan individu yang mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi dan mampu melaksanakan tugasan dalam apa jua situasi dan menjadi lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah walaupun dalam situasi yang sukar.

            Sesiapa sahaja boleh menjadi atau memohon untuk menyertai pasukan ini dan tiada had kepada sesuatu jenis pekerjaan atau latar belakang. Penulis sendiri yang juga merupakan seorang ahli profesional, tidak menjadi halangan kepada beliau untuk menyertai pasukan ini.  Bermula pada usia 42 tahun, penulis menjalani Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela di Kem Tebrau, Johor Bahru, selepas itu mengikuti kursus KADAR di Mersing dan baharu sahaja selesai menjalani Kursus Bakal Pegawai selama sebulan pada usia 46 tahun. Ini membuktikan, usia dan jenis pekerjaan bukanlah halangan untuk menyertai pasukan ini.  Bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Bukan mudah untuk memberikan komitmen dalam latihan, lebih-lebih lagi terikat dengan rutin tugasan harian. Penulis seolah-olah berada pada dua dunia yang berbeza pada satu masa. Walaupun sudah agak terlewat menyertai badan beruniform ini, tetapi minat dan semangat untuk berkhidmat kepada negara sangat berkobar di sanubari. Bagi penulis sebagai seorang pensyarah, ia telah berkhidmat kepada anak bangsa, manakala dengan menyertai askar wataniah pula lengkaplah tanggungjawab sebagai warganegara dengan menyumbang khidmat kepada negara tercinta.

Pengalaman penulis yang menyertai Askar Wataniah ini ternyata mampu menguatkan mental dan fizikal di samping dapat menyelami rutin kehidupan sebagai seorang tentera yang amat berbeza dengan orang awam di luar.  Selain menanam disiplin yang tinggi, ia juga membentuk semangat setia kawan yang tinggi dalam kumpulan.

Majikan sewajarnya memberi peluang kepada kakitangan mereka untuk menyertai pasukan ini.  Pasukan ini secara dasarnya mampu melahirkan individu atau pekerja yang lebih cergas, berdaya saing dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan mereka.

Akta Angkatan Tentera 1972 pula melindungi para pekerja yang mengikuti latihan wataniah yang mana pihak majikan dikehendaki untuk memberikan pelepasan kepada kakitangan mereka tanpa pemotongan gaji, cuti tahunan atau mengenakan tindakan terhadap anggota.

Selain itu, pasukan wataniah sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri kerana boleh dianggotai oleh pelbagai golongan sama ada orang awam, bekerja sendiri atau golongan profesional.  Dengan latihan-latihan yang disediakan secara teratur dan aktif, pasukan ini sebenarnya mampu menjadi pasukan simpanan yang boleh diatur gerak apabila diperlukan. Semoga dengan kesedaran ramai masyarakat Malaysia, kekuatan pasukan simpanan kita akan setara dengan pasukan simpanan negara jiran Singapura yang mewajibkan rakyatnya menyertai pasukan ini.

Beberapa negara Asia sebenarnya mewajibkan rakyat mereka mengikuti program ketenteraan mengikut pendekatan masing-masing. Sebagai contoh Singapura yang mewajibkan semua rakyat mereka yang berumur lebih 18 tahun untuk menyertai program Khidmat Negara (National Service) berbentuk ketenteraan selama dua tahun. Manakala Korea mewajibkan semua rakyat lelaki menyertai program khidmat negara berbentuk ketenteraan selama dua tahun mengikut bidang tentera yang dipilih. Filipina turut mempunyai program sama yang dinamakan program latihan khidmat negara (National Service Training Program). Program berbentuk ketenteraan ini wajib disertai oleh pelajar universiti selama dua semester (lapan bulan). Perlaksanaan di negara Taiwan pula agak sama dengan Korea, walau bagaimanapun agak terbuka dan hanya empat bulan sahaja yang wajib ke atas rakyat berumur 18 tahun ke atas. Brunei dan Malaysia mempunyai persamaan dari segi bentuk latihan yang diberikan iaitu tidak berbentuk ketenteraan. Di Brunei, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) bersifat sukarela dan memakan masa hanya tiga bulan. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksanakan di Malaysia mewajibkan mereka yang berumur 17 tahun ke atas yang terpilih untuk menyertainya. Walau bagaimanapun hanya program PLKN di Malaysia tidak diteruskan lagi hingga kini.

Oleh yang demikian saya mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mempunyai satu dasar yang jelas dalam menanam semangat jati diri dan patriotisme kepada negara seperti diamalkan oleh negara-negara Asia lain. Ini amat penting bagi membentuk jati diri generasi-generasi baru kini. Promosi-promosi perlu disebar luas supaya masyarakat mengetahui kewujudan askar wataniah dan berminat untuk menyertainya. Yang kedua adalah untuk memberikan peringatan kepada pihak majikan sama ada kerajaan mahupun swasta berkaitan akta angkatan tentera 1972 serta kelebihan mempunyai staf yang menyertai pasukan ini. Seterusnya adalah kemudahan logistik yang perlu ditambah baik selaras dengan peranan mereka sebagai benteng hadapan negara.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa

Anggota Rej. 501 (AW) / Provost Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Kredit foto: Rejimen Askar Wataniah