Oleh Prof. Madya Dr. Aryani Ahmad Latiffi

ALOR GAJAH, 7 Sept 2020 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara sembilan universiti awam yang terpilih untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Building Information Modelling (BIM) bersama Jabatan Kerja raya (JKR) bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam melaksanakan program BIM yang terancang selain memperluaskan skop dan potensi penggunaan program tersebut.

Jalinan kerjasama selama dua tahun ini merangkumi aspek kajian, pembangunan, penyelidikan dan latihan. Selain itu, MoU ini juga bertujuan untuk memantapkan kerjasama erat dan berterusan antara JKR dengan pihak akademik untuk mewujudkan ekosistem dan transformasi pengetahuan BIM dengan lebih tersusun dan terancang. Termeterainya MoU ini juga merupakan antara bukti jalinan kerjasama yang berterusan di antara JKR dengan UTHM dalam memperkasakan hubungan universiti dan komuniti.

Segala aktiviti yang dirancang dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak menerusi MoU ini akan dipantau secara aktif menerusi satu Jawatankuasa Pengurusan Bersama yang akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan MoU dijalankan seperti yang dirancang. Kerjasama dalam bidang BIM ini semestinya memberikan impak yang besar kepada kedua-dua pihak dalam menyusun strategik dan memperkembangkan bidang BIM dalam aspek penyelidikan dan inovasi, perundingan, akademik dan pembangunan modal insan.

Majlis MoU yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) di Alor Gajah, Melaka itu telah diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly manakala pihak JKR diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman yang juga merupakan perasmi bagi majlis tersebut.

Hadir sama, Naib Canselor dan wakil-wakil sembilan UA yang terlibat, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Profesor Dr. Wan Fauzi @ Fauziah Wan Yusoff, Profesor Madya Dr. Aryani Ahmad Latiffi (FPTP) selaku Penyelaras MoU JKR BIM-UTHM dan beberapa pegawai yang terlibat.

Secara umumnya, BIM merupakan teknologi yang diguna pakai dalam industri pembinaan yang memberi kebaikan dalam tempoh jangka panjang kepada semua pemain industri tersebut yang terlibat dalam semua peringkat pengurusan sesebuah projek pembinaan. Penggunaan teknologi ini telah membuktikan bahawa masalah daripada aspek kelewatan masa pembinaan, peningkatan kos dan penjejasan kualiti sesebuah projek pembinaan dapat diatasi dan diuruskan dengan lebih baik. Oleh itu, dengan termeterainya perjanjian di antara kedua pihak ini akan dapat merealisasikan objektif MoU ini.