Kerjasama UTHM-SHAZ-JCNTGA angkat martabat sektor pelancongan alam semulajadi negeri Johor

Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Shaz Resort Sdn. Bhd. (SRSB) dan Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semulajadi Negeri Johor (JCNTGA) telah bersepakat untuk...

Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Shaz Resort Sdn. Bhd. (SRSB) dan Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semulajadi Negeri Johor (JCNTGA) telah bersepakat untuk menjalin kerjasama bagi melaksanakan projek penyelidikan dan pengkomersialan pelancongan alam semula jadi di negeri Johor.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu majlis memeterai memorandum perjanjian (MoA) telah diadakan pada 27 Ogos lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM kampus induk.

Perjanjian kerjasama itu telah disaksikan oleh YB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor dalam satu majlis ringkas. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Profesor Dr. Hashim Saim, pegawai-pegawai kanan universiti, wakil dari Pejabat Daerah Mersing, Majlis Perbandaran Mersing, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Johor dan Tourism Johor.

Perjanjian kerjasama melibatkan tempoh masa selama lima tahun ini akan dilaksanakan melalui penyaluran geran industri bernilai RM100,000.00 yang disumbangkan oleh Shaz Resort Sdn. Bhd. kepada UTHM bagi tujuan penyelidikan dan konservasi kepelbagaian flora dan fauna dan Pulau Tinggi, Mersing Johor. Menariknya, UTHM juga akan melibatkan komuniti setempat yang diwakili oleh JCNTGA dalam menjayakan misi ini.

Menurut  Ketua Projek, Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM melalui kepakaran yang dimiliki oleh universiti serta dengan kerjasama penyelidik dari pelbagai universiti dan agensi lain di dalam dan luar negara akan menjadikan Pulau Tinggi sebagai pusat konservasi flora dan fauna bagi keseluruhan kawasan kepulauan Mersing yang kaya dengan khazanah alam semula jadi.

“Melalui proses dokumentasi yang dijalankan di Pulau Tinggi, UTHM seterusnya akan berkolaborasi dengan JCNTGA untuk membangunkan pakej pelancongan alam semula jadi yang bukan hanya memfokuskan keuntungan semata-mata, tetapi mempunyai elemen pendidikan yang mampu menyemai kecintaan kepada alam semula jadi yang kian terancam saban hari.

“Ini adalah bertepatan dengan komponen ‘Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam’ bagi konvensyen antarabangsa yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity),” katanya.

Tambah beliau lagi, produk-produk pelancongan yang dibangunkan ini akan menjadi satu aset penting bagi Shaz Resort Sdn. Bhd. kerana mampu menawarkan pakej pelancongan yang diwujudkan melalui penyelidikan universiti. Perkara ini akan menjadi satu daya tarikan yang menarik serta membuka segmen pelancongan yang sangat kurang diterokai di Malaysia.

Tambahan lagi, ahli-ahli JCNTGA yang berjumlah hampir 160 orang yang terkesan dengan kehadiran pandemik COVID-19 juga akan mendapat peluang menerokai segmen baru ini yang mampu menjana pendapatan dan mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. UTHM akan memberi latihan kepada JCNTGA berkenaan produk pelancongan ini yang berkonsepkan CTRE (Continuing Tourism Related Education) yang juga syarat bagi mereka memperbaharui lesen sebagai pemandu pelancong berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Keseluruhan dapatan daripada penyelidikan dan pembangunan produk pelancongan projek ini akan ditempatkan di satu Pusat Universiti untuk Masyarakat (University for Society Centre) di Pulau Tinggi yang disasarkan menjadi produk pelancongan yang boleh dikunjungi oleh pengunjung di Kepulauan Mersing.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan semua spesimen yang dikumpulkan bagi tujuan kajian di Pulau Tinggi ini dapat disimpan dengan baik dan menjadi rujukan bagi penyelidikan di masa akan datang,” katanya lagi.

Profesor Datuk Ts. Dr Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM turut menzahirkan komitmen universiti dengan menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi untuk berinteraksi bersama industri dan komuniti dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Beliau dalam ucapannya turut menyatakan kerjasama penuh UTHM kepada agenda pembangunan dan kelestarian alam sekitar yang mampu menjadi aset ekonomi hijau bagi membantu komuniti dan industri.

Manakala Datuk Onn Hafiz pula berkata kerjasama yang melibatkan universiti, industri dan komuniti khususnya dalam sektor pelancongan di negeri Johor akan memberikan impak yang positif khususnya kepada alam sekitar. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan dan komited dalam memastikan sektor pelancongan di Johor berada di tahap yang membanggakan, kerana ia melibatkan komuniti dan penduduk setempat secara langsung.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
MoU, MoA dan LoI

RELATED ARTICLE