Perkembangan digital di Malaysia pada masa kini memperlihatkan pelbagai output positif sejajar dengan kepesatan digital dunia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi menaik taraf sistem Internet di negara ini termasuklah sambungan berwayar, tanpa wayar mahupun teknologi jalur lebar. Penaiktarafan ini penting bukan sahaja untuk menyokong sektor-sektor utama, malah ia turut menggalakkan potensi negara bagi membuka lebih banyak ruang terhadap pelbagai lagi perkembangan baharu yang didokong oleh teknologi Internet dalam kalangan masyarakat Malaysia secara umumnya. Salah satu perkembangan positif yang dapat kita lihat adalah dengan berkembangnya teknologi IoT yang kian mendapat perhatian dari pelbagai sektor. Ia turut merangsang Malaysia untuk merangka pelbagai usaha dan strategi bagi menaik taraf kebolehlaksanaan IoT di negara ini.

Internet of Things atau dikenali sebagai IoT adalah istilah yang digunakan untuk semua teknologi yang membolehkan penyambungan peranti kepada rangkaian Internet. Teknologi ini bergantung pada jarak frekuensi radio termasuk penyelesaian jarak pendek seperti Bluetooth dan RFID, penyelesaian jarak sederhana seperti Wi-Fi, Thread dan ZigBee, serta penyelesaian jarak jauh seperti NB-IoT, LTE-Cat M1, LoRaWAB dan Sigfox. Pada masa ini, IoT dilihat memberi impak yang sangat besar terutamanya di dalam industri-industri gergasi seperti industri pengeluaran dan pergudangan, serta penggunaannya turut menjadi semakin popular di dalam mempelopori persekitaran smart-city mahupun smart-home. Dengan IoT, pengguna dapat melihat, membuat penetapan, mengawal peranti-peranti dalam persekitaran mereka dengan mudah, malah pengguna juga dapat mengumpul data yang diingini untuk tujuan pengawasan dan sebagainya. Secara umumnya, bagi membenarkan IoT dilaksanakan dengan mudah di rumah, sensor-sensor perlu diletakkan di lokasi yang terlibat, kemudian sambungan perlu dilakukan melalui Internet agar data dapat diterima oleh peranti milik pengguna, dan seterusnya dipaparkan pada aplikasi yang berkaitan. Dengan penggunaan IoT di rumah, ia sedikit sebanyak akan meningkatkan lagi kualiti pengurusan di rumah.

Aplikasi IoT Mudah

Aplikasi IoT dapat digunakan dalam pelbagai situasi sama ada kritikal mahupun tidak. Walaupun kadang kala suatu masalah itu dilihat remeh, namun, keperluan terhadap penyelesaian optimum adalah diharapkan bagi mengelakkan masalah jangka panjang berlaku. Terdapat pelbagai contoh bagaimana masalah di persekitaran rumah kita dapat diselesaikan dengan bantuan aplikasi IoT yang mudah. Antara teknik yang popular adalah dengan menggunakan penyelesaian jarak pendek RFID dan penyelesaian jarak sederhana Wi-Fi.

Sebagai contoh, aplikasi pemantauan rutin pemakanan kucing menggunakan sensor sel beban (kapasiti 1 kilogram) dan sensor pH boleh dibangunkan sebagai alternatif dalam membantu mengurangkan beban pengguna yang memelihara haiwan peliharaan seperti kucing untuk memantau rutin penjagaan makanan dan minuman secara sistematik. Dengan menggunakan jaringan IoT dan ThingSpeak contohnya, kita dapat memantau aras stok makanan kucing dan nilai pH air minuman menerusi aplikasi Arduino di telefon pintar.

Contoh lain adalah di dalam pemantauan tarikh luput makanan menggunakan Radio Frequency Identification (RFID) bagi mengesan dan memantau tarikh luput sesuatu makanan terutamanya makanan kering. Setiap tag RFID yang mengandungi Kod Produk Elektronik (EPC) digunakan untuk merekodkan maklumat makanan. Maklumat tersebut akan dikesan setelah pembaca RFID membaca tag pada makanan berkenaan. Maklumat makanan tersebut boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori berdasarkan tarikh luput untuk memaklumkan status tarikh luput kepada pengguna. Notifikasi melalui e-mel akan dihantar kepada pengguna untuk memberitahu pengguna bahawa makanan tersebut sedang menghampiri tarikh luput.

Seterusnya, contoh lain adalah di dalam memantau kualiti air akuarium. Sistem IoT dengan Arduino boleh digunakan untuk melihat bacaan pH dan suhu air di dalam akuarium dan kemudiannya dihubungkan dengan suatu aplikasi Android. Pengguna akan dapat menggunakan aplikasi ini untuk memantau kualiti akuarium sekali gus memastikan ikan berada dalam keadaan yang sihat dan dapat menjimatkan masa pengguna dalam mengawasi ikan hiasan.

Semarakkan minat masyarakat

Sejajar dengan perkembangan IoT ini, Malaysia melihat ianya sebagai suatu yang serius dan terus berusaha menambah baik ekosistem bagi menyokong keperluan IoT. Tanpa ekosistem yang baik, Malaysia bukan sahaja sukar untuk mengembangkan potensi IoT, malah ia turut akan memberi ancaman terhadap keselamatan data pengguna secara umumnya dan kepada negara secara khususnya. Pelan Hala Tuju Strategik Internet of Things (IoT) Kebangsaan telah menggariskan lima strategi bagi meningkatkan kebolehgunaan dan kebolehpercayaan terhadap penggunaan IoT di negara ini. Salah satu daripada strategi yang dicadangkan adalah dengan menganjur serta menubuhkan Rangka Kerja Data Komuniti Terbuka (IoT Open Community Data Framework) untuk memudahkan perkongsian maklumat antara industri dan pengguna ke arah peningkatan mutu kehidupan dan kesejahteraan masyarakat.

Untuk menyemarakkan minat masyarakat terhadap penggunaan dan pembangunan aplikasi IoT, persediaan bukan hanya perlu diambil di peringkat fasiliti, malah yang paling utama adalah mewujudkan anak bangsa yang celik ‘coding’ dan celik IoT. Sehubungan itu, pelbagai program berunsurkan ilmiah diperkembangkan bagi tujuan pemindahan ilmu berkaitan terutamanya untuk pelajar sekolah. Program STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) sebagai contoh menawarkan beberapa bengkel berkaitan seperti bengkel mereka cipta aplikasi Arduino, robotik dan sebagainya yang mana ianya turut sejajar dengan keperluan IR 4.0. Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mewujudkan pembelajaran berkaitan ‘coding’ kepada murid sekolah rendah dan menengah sejak tahun 2016 juga adalah sebagai usaha awal untuk menghasilkan masyarakat yang celik ‘coding’. Menurut Menterinya, ia secara khususnya adalah bagi menyediakan murid yang mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah menggunakan coding atau kod arahan dalam bahasa pengaturcaraan. Dalam mata pelajaran tersebut, coding menjadi kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid untuk diaplikasikan dalam komponen robotik serta produk berasaskan IoT.

Dengan usaha-usaha ini, diharapkan agar ia akan menyemarakkan lagi minat masyarakat Malaysia terhadap penggunaan IoT. Malah tidak mustahil jika suatu hari nanti, ramai ahli masyarakat yang akan mampu membangunkan aplikasi sendiri untuk menyelesaikan masalah masing-masing dengan bantuan IoT.

 

 

 

Oleh:

Dr. Norfaradilla Wahid

 

Dr. Hazalila Kamaludin

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)