UTHM hasilkan kenderaan elektrik bersifat mesra alam

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menghasilkan kenderaan elektrik (EV) pertama yang bercirikan pencemaran sifar dan mempunyai reka bentuk pintar. Kenderaan ini memiliki kelajuan maksimum...

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menghasilkan kenderaan elektrik (EV) pertama yang bercirikan pencemaran sifar dan mempunyai reka bentuk pintar.

Kenderaan ini memiliki kelajuan maksimum sehingga 100 km/j, berdaya kilas 120Nm dan mempunyai sistem arahan suara bagi memudahkan pengguna mengaktifkan sistem lampu dan kamera pandang belakang, sekali gus menjadikan kenderaan ini amat mudah untuk dikendalikan. Kenderaan ini hanya memerlukan sumber kuasa elektrik dari rumah kediaman (240V) untuk dicas semula dan setiap pengecasan penuh mampu membawa sejauh 100 km.

Kenderaan yang diberi nama ECO, yang berasal daripada perkataan ecology ini berkonsepkan sebuah mini-truck bagi tujuan pengangkutan jarak sederhana dan mampu membawa bebanan sehingga 200 kilogram. Penghasilan kenderaan ini amat bertepatan dengan bidang tujah UTHM iaitu Sustainable Technology And Transportation.

Kenderaan ini dibina bagi tujuan pengangkutan barangan domestik bagi menggantikan lori kecil berkuasa diesel yang banyak digunakan hari ini. ECO memberi penyelesaian mudah masalah pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh penghasilan gas hidrokarbon hasil daripada pembakaran minyak kenderaan serta saiznya yang kompak memudahkan pergerakan di kawasan yang sesak.

Untuk rekod, projek ini dibangunkan bermula pada pertengahan 2019 oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (EMCenter), Institut Kejuruteraan Integrasi, UTHM dan mengambil tempoh selama 14 bulan untuk disiapkan. Kumpulan penyelidik yang juga dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Samsul Haimi Dahlan bersama-sama Dr. Xavier Ngu selaku Pengarah Teknikal, Dr. Razali Tomari sebagai Pakar Kecerdasan Buatan dan Mohd Rostam Anuar sebagai Pakar Integrasi Sistem.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly telah menyempurnakan upacara pelancaran kenderaan ini yang diadakan pada 6 Ogos lalu.

Beliau berharap penghasilan kenderaan elektrik ini akan menjadi pemangkin kepada semua warga universiti untuk menghasilkan lebih banyak produk inovasi melalui penyelidikan mereka.

 

 

 

Categories
Kejuruteraan Elektrik dan ElektronikPenyelidikan dan InovasiProduk

RELATED ARTICLE