UTHM hantar pulang 720 pelajar ke kampung

Batu Pahat, 8 Mei – Seramai 346 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mendiami Zon Timur dihantar pulang ke kediaman masing-masing pada malam tadi. Sebelum bertolak pulang...

Batu Pahat, 8 Mei – Seramai 346 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mendiami Zon Timur dihantar pulang ke kediaman masing-masing pada malam tadi.

Sebelum bertolak pulang pelajar-pelajar terbabit diwajibkan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik dan sihat serta bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad berkata, pergerakan fasa ketiga ini melibatkan tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Tambah beliau, penghantaran pelajar pada malam tadi menggunakan 32 bas dan tiga van. Sebelum berangkat, kesemua kenderaan ini menjalani proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA dan Penyelamat. Mereka juga turut melakukan proses sanitasi beg dan bagasi pelajar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak kami amat berbesar hati kerana penghantaran kali ini turut mendapat bantuan bas daripada rakan universiti lain iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Pahang,” katanya.

Terdahulu, seramai 77 pelajar di Zon Selatan menjadi kumpulan pertama yang dihantar pulang ke rumah masing-masing pada 30 April lalu. Manakala pada 4 Mei lalu, UTHM juga turut menguruskan penghantaran pulang 297 pelajar yang mendiami zon tengah iaitu negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kesemua mereka kini telah selamat berada di pangkuan keluarga masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulang adalah seramai 720 pelajar.

Hadir sama mengiringi kepulangan pelajar, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly. Beliau sempat meninjau dan beramah mesra dengan para pelajar terbabit serta kumpulan petugas yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan pulang berjalan seperti yang dirancang.

Categories
covid-19Hal Ehwal Pelajar

RELATED ARTICLE