Wabak COVID-19 dilaporkan telah menyerang secara agresif ke 210 buah negara dan wilayah di seluruh dunia. Sebanyak 3 470 277 kes kumulatif positif telah disahkan dan 243 966 kes daripadanya menyebabkan kematian. Pastinya jumlah ini akan berubah atau berkurang saban hari bergantung kepada bagaimana dunia mengekang penyebarannya. Wabak COVID-19 ini ternyata memberi kesan yang dasyat terutama kepada populasi manusia. Namun begitu, apakah kesan pandemik ini kepada haiwan, tumbuhan dan alam sekitar?

Melalui nama yang diberikan, SARS-CoV-2 yang berkait rapat dengan SARS-CoV dianggap memiliki sifat zoonotik. Koronavirus ini secara genetik kluster dengan Betakoronavirus, dalam subgenus Sarbecovirus. Ujian analisis genetik terhadap koronavirus daripada dua baka kelawar mendedahkan 96% di seluruh tahap genomnya sama untuk sampel koronavirus kelawar-kelawar ini dan 92% sama dibandingkan dengan koronavirus pada tenggiling. Pada Februari 2020, para penyelidik China mendapati terdapat satu perbezaan asid amino dalam urutan genom tertentu di antara virus-virus yang terdapat di tenggiling dan dari manusia, yang menandakan bahawa tenggiling hanya merupakan perumah pertengahan.

Penyelidik di Institut Penyelidikan Veterinar Harbin di timur laut China mengkaji jangkitan virus COVID-19 dan penyebaran dalam kalangan haiwan peliharaan susulan kucing di Belgium dan Hong Kong dilaporkan positif COVID-19. Pasukan itu melakukan ujian tersebut dengan memberikan sejumlah dos virus COVID-10 (SARS-CoV-2) ke atas lima ekor kucing domestik. Zarah virus berjangkit dan genetik virus itu ditemui pada saluran pernafasan dua ekor kucing yang dimatikan enam hari kemudian. Tiga ekor kucing yang diberikan dos virus itu diletakkan di dalam sangkar bersebelahan dengan tiga ekor kucing dari spesis sama yang bebas jangkitan. Kajian mendapati seekor kucing di sangkar berlainan itu telah dijangkiti virus COVID-19 yang dipercayai disebarkan melalui titisan air. Kajian menunjukkan keempat-empat ekor kucing yang dijangkiti virus COVID-19 telah menghasilkan antibodi terhadap COVID-19.

Namun begitu, Linda Saif dari Ohio State University di Wooster memaklumkan tiada bukti menunjukkan kucing dijangkiti boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain dan tiada bukti cara penyebaran yang jelas kerana kucing itu mungkin mendapat virus COVID-19 melalui najis atau air kencing yang tercemar. Beliau turut menyatakan bahawa kajian ini menujukkan virus tersebut sebenarnya tidak berisiko tersebar antara kalangan kucing. Muhammad Munir dari Lancaster University di utara England dan Dark Pfieffer dari City University of Hong Kong menyatakan, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan COVID-19 boleh disebarkan antara haiwan.

Selain daripada kucing, kajian COVID-19 turut dilakukan ke atas anjing, ayam, khinzir dan itik. Kajian memberikan keputusan bahawa anjing kurang berisiko dijangkiti manakala haiwan-haiwan yang lainnya tidak terdedah kepada jangkitan wabak tersebut. Kajian berasingan terhadap 3500 spesimen kucing dan anjing dari Korea Selatan dan 50 negeri di Amerika Syarikat turut dilakukan di Makmal Idexx, Washington menunjukkan tiada kesan positif COVID-19 antara kucing dan anjing menunjukkan virus ini tidak disebarkan antara haiwan. Kucing dan harimau domestik turut dikatakan terbukti positif COVID-19 kerana merupakan kontak rapat dengan manusia yang dijangkiti COVID-19.  Namun begitu, tiada bukti jelas menunjukkan haiwan domestik ini berperanan dalam penyebaran COVID-19 kepada manusia dan tidak membahayakan kesejahteraan manusia.

Koronavirus seperti SARS-CoV, MERS-Cov, Ebola dan yang terkini, COVID-19 dikatakan tidak memberi kesan terhadap populasi tumbuhan berikutan terlalu sedikit kajian mengenainya. Kajian dilakukan oleh Robert Swanepoel dari National Institute for Virology, Sandringham, Afrika Selatan mengenai kesan virus Ebola terhadap 33 biji benih dari 24 jenis benih tumbuh-tumbuhan. Kesemua jenis tumbuhan ini ditanam di dalam media yang mempunyai virus Ebola Zaire yang mana virus itu diperolehi dari darah seorang pesakit Ebola. Hasil kajian mendapati, tiga belas tumbuhan telah layu atau luka dipercayai disebabkan oleh kecederaan mekanikal semasa proses inokulasi. Walaubagaimanapun, jangkitan dari luka tersebut tidak dapat dipulihkan dan tiada bukti jangkitan COVID-19 apabila diamati menggunakan mikroskop elektron.

Fanny Balique dari Perancis menyatakan virus tumbuhan (phytovirus) sangat lazim di tumbuhan di seluruh dunia termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan yang mana umumnya, manusia dan haiwan terdedah kepada virus ini setiap hari. Namun begitu, virus ini hanya menjangkiti tumbuhan dan tidak mempunyai potensi terhadap sifat patogenik kepada manusia dan haiwan. Walaubagaimanapun, manusia boleh menyebarkan virus tumbuhan yang dikenali sebagai virus mosaik tembakau (TMV). Virus ini boleh didapati di dalam rokok. Sekiranya manusia merokok, virus ini tidak menjangkiti perokok namun jika perokok menyentuh tanaman setelah memegang rokok, perokok berpotensi untuk menyebarkan virus ini ke tanaman tembakau atau tanaman lain yang terdedah kepada virus mosaik tembakau. Virus ini tidak menjangkiti manusia atau haiwan, namun manusia berkeupayaan membawa virus melalui tangan mahupun kasut yang digunakan. Hal ini jelas terbukti apabila Whitney Elmore menyatakan manusia tidak akan dijangkiti oleh virus tumbuhan dan tumbuhan tidak akan dijangkiti oleh virus haiwan.

Virus COVID-19 dilihat tidak dapat disebarkan melalui air apatah lagi air sungai. Virus ini tidak mereplikasi di persekitaran dan mudah terlarut di dalam air. Ianya turut tidak memberi kesan yang buruk kepada kehidupan akuatik.  Sekiranya COVID-19 ini disebarkan melalui kitaran air, virus ini mestilah mempunyai kebolehtahanan dalam sisa manusia sama ada air kencing atau najis. Loji rawatan air sisa yang sememangnya merawat virus dan patogen lain menyebabkan COVID-19 ini sangat mudah disinfeksi terutama melalui proses pengklorinan sekali gus menimbulkan risiko yang minimum melalui air minuman. Pertubuhan Makanan dan Pertanian turut mengakui bahawa virus tidak memberi kesan terhadap alam sekitar berikutan tidak dapat bertahan lama malah tidak dapat bertahan dengan baik di dalam sungai.

Kualiti air juga dilihat positif jika dibandingkan dengan sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. Sebanyak 28% dari 29 stesen pemantauan air sungai di Malaysia atau dengan lebih jelas, sebanyak lapan daripada 29 stesen pemantauan air sungai menunjukkan pertambahbaikan indeks kualiti air sungai (WQI). Peratusan itu mungkin lebih tinggi namun hujan lebat yang kerap di musim PKP menyebabkan hakisan tanah dan penurunan WQI di lokasi-lokasi stesen pemantauan air sungai yang lain. Jabatan Alam Sekitar turut melaporkan bahawa peningkatan yang signifikan dalam WQI di hulu atau lembangan sungai yang menempatkan keseluruhan 29 buah stesen pemantauan air sungai tersebut. Sungai Melaka turut dilihat semakin bersih dan jernih sehingga kelihatan sekumpulan ikan berenang di dalamnya. Sungai Pinang di Pulau Pinang yang merupakan antara sungai terkotor di Malaysia turut dilihat biru kehijauan berbanding keadaannya yang kehitaman sebelum PKP dilaksanakan. Profesor Dr. Chan Ngai Weng, penyelidik pengurusan alam sekitar dan hidrologi dari Universiti Sains Malaysia berkata bahawa lambakan kekotoran yang berpunca pelepasan minyak dari bengkel dan kilang, dan tercampur sebati oleh bahan organik dari air sisa pasar dan kawasan penjaja terhenti apabila PKP dilaksanakan sehingga sungai tidak lagi dibebani pencemaran seperti ini.

Pandemik COVID-19 ini memberi kesan yang besar terhadap alam sekitar. Secara amnya, kekurangan penggunaan kenderaan dan aktiviti industri yang mengeluarkan asap menyebabkan kita mendapat udara yang bersih. Hal ini diakui oleh Kementerian Alam Sekitar apabila Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan laporan mengenai peningkatan kualiti udara sebanyak 14 peratus dengan kualiti udara kategori ‘baik’ berdasarkan Indeks Pencemaran Udara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di seluruh Malaysia. Menurut NASA, pencemaran nitrogen dioksida yang dilepaskan oleh kenderaan, loji janakuasa dan industri telah menurun sebanyak 30 peratus di Timur Laut Amerika Syarikat. Menurut saintis dari Royal Netherlands Meteorological Institute, tahap pencemaran udara di Madrid, Milan dan Rom turut menurun sekitar 45 peratus sementara Paris menyaksikan penurunan yang dramatik iaitu sebanyak 54 peratus, bertepatan dengan tindakan kuarantin yang ketat yang telah dilaksanakan di seluruh Eropah. Para saintis dari China turut mengesan penurunan pencemaran udara yang ketara sejak kemunculan COVID-19 apabila negara itu menghentikan aktiviti ekonomi di sebahagian negara mereka. Selain daripada itu, penyelidik dari New York turut menyatakan karbon monoksida yang sumber utamanya dari pelepasan asap kereta menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu. COVID-19 dilihat memberi impak positif kepada alam sekitar dan peluang kelestarian secara semulajadi.

Kesimpulannya, virus COVID-19 ini berpotensi dan berbahaya kepada manusia kerana ianya mudah merebak melalui titisan air liur. Namun begitu, tiada bukti jelas penyebarannya terhadap haiwan dan virus ini tidak mengjangkiti tumbuh-tumbuhan. COVID-19 juga tidak dapat disebarkan melalui air sungai dan tidak memberi kesan kepada hidupan akuatik. Namun begitu, pandemik COVID-19 ini dilihat jelas dapat memberi kesan positif kepada keadaan sungai dan udara sekali gus menurunkan pencemaran air dan udara berikutan berkurangnya aktiviti manusia yang menyebabkan pencemaran.

 

Oleh:

Dr. Noor Maisara Jais,
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

&

Prof. Madya Ts. Dr. Radin Maya Saphira Radin Mohamed,

Ketua Pusat Penyelidikan Pencemar Mikro (Micropollutant Research Centre),

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina