Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuatkuasa mulai 15 Januari 2020. Pelantikan yang dibuat oleh Mantan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik itu adalah untuk tempoh tiga tahun iaitu sehingga 14 Januari 2023.

Pelantikan Dr. Shahir, 47 adalah bagi mengisi jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM yang sebelum ini disandang oleh Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikannya.

Dr. Shahir sebelum ini merupakan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Mengimbas perjalanan kerjayanya, graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD.) dari University of Exeter ini pernah menggalas beberapa tugas di universiti tersebut antaranya sebagai Pengurus Teknologi Maklumat, Koordinator, Penasihat Akademik dan fasilitator program di fakulti.

Selain itu beliau juga banyak menyumbang dalam aktiviti menyunting dan menerbitkan jurnal berindeks scopus dan juga prosiding, selain turut aktif dalam menguruskan geran penyelidikan, khidmat perundingan dan penyelidikan kontrak.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menyelia lebih 10 pelajar terdiri daripada pelajar PhD. dan juga pelajar sarjana.

Atas sumbangan dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan, Dr. Shahir telah berjaya memenangi beberapa anugerah dan pingat dalam penyelidikan dan inovasi termasuk tiga kali meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly mewakili seluruh warga universiti mengucapkan tahniah di atas pelantikan ini dan berharap Dr. Shahir dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada UTHM.