PAGOH – Pelajar Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian, Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama dengan jawatankuasa Festival Biodiversiti 2019 menganjurkan Program Food Innovation Technology 5.0 (Foodintech 5.0) pada 12 hingga 15 Oktober lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Program yang berjalan selama empat hari ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan elemen keusahawanan dalam industri makanan kepada pelajar sambil mempromosi program-program akademik FAST di bawah Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian. Selain itu, program ini diadakan untuk melatih sifat kepimpinan, pengurusan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar serta mewujudkan jaringan kerjasama antara pensyarah di UTHM Kampus Pagoh dan komuniti luar.

Menurut Pensyarah Jabatan Teknologi dan Sumber Asli, Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohamad Fuzi program yang julung kali diadakan ini mampu meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri pelajar dalam bidang pengurusan program.

“Program selama empat hari ini dilihat berupaya memberi impak kepada pelajar dalam mempraktikkan kebolehan memimpin, mengurus dan melaksanakan program secara berkesan yang melibatkan banyak pihak termasuk di dalam dan luar UTHM,” katanya.

Beberapa pengisian aktiviti telah dilaksanakan melibatkan 200 peserta antaranya Candy Run dan Virtual run yang bertujuan untuk mempromosi gaya hidup sihat.

Turut berlangsung, dua majlis pelancaran iaitu perlancaran ‘Gerobok Rezeki’ yang menjadi simbolik perkongsian rezeki bersama golongan kumpulan terendah 40 peratus (B40) dan perlancaran Herb Garden bersama pelajar Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) yang mana satu plastik tanah kompos yang dihasilkan daripada sisa makanan telah diserahkan kepada pihak Herb Garden.

Sementara itu, aktiviti-aktiviti menyantuni warga UTHM Kampus Pagoh juga dilaksanakan antaranya program Breakfast Day yang memberi makanan percuma kepada kira-kira 300 orang pelajar UTHM.

Turut dijalankan pemeriksaan kesihatan (TIBI) dan kesihatan mental percuma oleh pihak Kementeriaan Kesihatan Muar dan perkhidmatan Pemakanan Komuniti yang dikendalikan  oleh pelajar program Teknologi Makanan, serta kursus Pengendalian Makanan kepada pemilik-pemilik premis makanan anjuran bersama konsultan luar.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Food Truck dan jualan makanan oleh para pelajar.