PAGOH – Bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan konsep dan ekosistem halal yang semakin pesat berkembang, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘Pembudayaan Standard dan Kualiti berkenaan Halal’ pada 16 November lalu bertempat di Auditorium 2, Bangunan Gunasama Kementerian Pengajian Tinggi.

Program anjuran FAST di bawah Panel Bidang Teknologi Makanan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia ini juga bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar khususnya pelajar Sarjana Muda dan pelajar Sarjana Teknologi Makanan berkaitan pemahaman mengenai isu-isu halal viral yang berlaku di sekeliling.

Ini sekali gus menyahut cabaran kerajaan dan pihak kementerian pendidikan untuk melahirkan generasi mahasiswa yang bersedia menghadapi dinamik masyarakat ekonomi global, yang berpengetahuan luas berkaitan standard, kualiti dan ekosistem halal.

Program yang melibatkan kehadiran pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) dan pelajar Pusat Pengajian Diploma (PPD), UTHM serta pelajar-pelajar daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kampus Pagoh ini dilihat dapat membentuk satu komuniti yang harmoni selain merapatkan lagi jurang antara universiti, jabatan-jabatan kerajaan dan industri.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Fakheezah Borhan sekali gus turut menjayakan slot pembentangan berkaitan standard dan kepentingannya. Turut serta dalam pembentangan, Nursyazrin Nazeemudeen dari JAKIM yang membincangkan topik berkaitan halal ekosistem. Manakala petangnya pula diisi dengan forum bersama wakil industri serta perkongsian berkenaan isu halal yang dihadapi dan impak yang akan ditanggung kesan daripada penularan maklumat yang salah.

Antara wakil pihak industri yang hadir, Othman Md. Yusof, Pengerusi Nestle Halal Committee, Malaysia; Ustaz Mohd Hafiz Mansor, Senior Executive Syariah dan Halal Compliance Berhad, QSR dan wakil pegawai dari syarikat Mamee. Mereka turut menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para pelajar.

Turut diadakan, pertandingan mencipta poster di bawah tajuk ‘Halal: Jangan viral kalau tidak pasti’. Program yang ditaja penuh oleh Jabatan Standard Malaysia ini menawarkan hadiah bernilai RM1000 untuk tempat pertama, RM750 untuk tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga.

Pertandingan menyaksikan pelajar UIA memenangi tempat pertama, manakala pelajar FKAAS di tempat kedua dan FAST di tempat ketiga di samping 10 hadiah saguhati turut diberikan kepada pemenang.