BATU PAHAT- Penganjuran Festival Seni UTHM 2019 oleh Pusat Kebudayaan Universiti (PBU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 16 hingga 20 November lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail mendapat sambutan hangat daripada warga kampus.

Menurut Pengarah Festival Seni UTHM 2019, Rosdi Abdullah kira-kira 1000 penonton memenuhi dewan setiap malam ketika festival berlangsung sekali gus memeriahkan lagi acara yang dipertandingkan.

Festival tersebut menyaksikan sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu pertandingan Busking, tarian tradisional dan kreatif, nyanyian dan persembahan teater yang disertai oleh lapan kolej kediaman UTHM iaitu kolej kediaman Tun Fatimah, Kolej Kediaman Tun Syed Nasir, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Kolej Kediaman Bistari, Kolej Kediaman Perwira, Kolej Kediaman Pagoh 1, 2, 3 dan kumpulan Pelajar Tanpa Asrama.

Pasukan Kolej Kediaman Tun Fatimah mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai JUARA ANTARA JUARA dengan memperolehi satu juara, satu naib juara, satu tempat ketiga dan enam anugerah individu.

Pertandingan Busking dijuarai oleh Kolej Kediaman Pagoh 3 manakala Pelajar Tanpa Asrama mendapat Naib Juara dan Kolej Kediaman Pagoh 1 pula di tempat ketiga.

Pertandingan Tarian pula dijuarai oleh Kolej Kediaman Tun Syed Nasir manakala Kolej Kediaman Tun Fatimah mendapat Naib Juara dan Kolej Kediaman Bistari di tempat ketiga.

Pertandingan Nyanyian menyaksikan Kolej Kediaman Pagoh 1 mendapat gelaran juara dan Kolej Kediaman Pagoh 3 mendapat Naib Juara manakala Kolej Kediaman Tun Fatimah mendapat tempat ketiga.

Sementara itu, Kolej Kediaman Tun Fatimah menjadi juara dalam persembahan Teater manakala Naib Juara dimenangi oleh Kolej Kediaman Pagoh 1 dan Kolej Kediaman Bistari di tempat ketiga.

Rosdi berkata penganjuran Festival Seni UTHM 2019 ini memberi banyak peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat seni mereka selain berupaya membentuk kemahiran insaniah dalam diri masing-masing.

“Festival ini secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan yang kreatif, berkemahiran, berdaya saing serta berilmu pengetahuan tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, modal insan yang dilahirkan melalui sistem pendidikan negara akan menentukan sejauh manakah mereka dapat membangun dan memajukan negara pada masa hadapan.

“Modal insan ini perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan yang akan menguji mereka kelak,” tambahnya lagi.

Sementara itu, penganjuran festival pada kali ini juga menyelitkan beberapa elemen pembaharuan seperti pertandingan pembikinan video viral dan juga penyokong sorakan terbaik.

“Kreativiti video yang dihantar oleh pelajar untuk pertandingan pendek Festival Seni UTHM agak mengagumkan, secara tidak langsung laluan ini mampu memberi ruang kepada pelajar untuk meluaskan kreativiti pembikinan video.

“Di sebalik festival ini, ada nilai teknikal dan kejuruteraan di dalamnya melalui pembikinan video, pembuatan set dan props teater, pembikinan lagu busking dan penciptaan muzik tarian,” tambah Rosdi.

Untuk rekod, Festival Seni UTHM semakin berkembang maju saban tahun sama seperti penganjuran Festival Seni Universiti – universiti Awam yang lain seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.