BATU PAHAT – Bagi menghargai pencapaian prestasi tahunan staf, Pusat Kebudayaan Universiti (PBU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif mencipta dan menyumbang lagu tema bagi penganjuran Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan universiti.

Pengarah PBU, Dr. Mohd Nizam Attan berkata lagu ini merupakan hasil usaha staf PBU yang sentiasa berusaha menghasilkan karya-karya yang kreatif dan bermutu.

“Pihak kami berharap lagu ini dapat menyemarakkan lagi penganjuran Majlis APC tahunan UTHM sekali gus mampu memberi kesan kepada jiwa penerima dan membakar semangat mereka untuk terus bekerja dengan lebih produktif.

Penghasilan lagu ini membuktikan UTHM juga mampu menghasilkan  karya sendiri yang bermutu selain berupaya menjadi satu penanda aras yang baik kepada universiti,” katanya.

Lirik lagu bertajuk ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UTHM’ dicipta oleh staf PBU, Rosdi Abdullah manakala melodinya pula oleh Mohd Nazri Mohd Nawi.

Lirik lagu ini menceritakan tentang rasa bersyukur menerima APC setelah berusaha seikhlas hati mencari rezeki, berjuang demi kerjaya dan dihargai pada majlis tersebut.

Tambah Rosdi, ilham menulis lirik lagu tersebut datang apabila beliau sendiri pernah menjadi penerima APC UTHM pada 2019.

“Saya luahkan perasaan dan pengalaman yang dilalui dalam penulisan lirik tersebut dan berharap dapat membuatkan penerima yang lain lebih bersemangat untuk terus berbakti kepada universiti tercinta,” katanya.

 

Lirik lagu: ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UTHM’

 

“Setelah Engkau Berusaha….

Korban Masa Dan Tenaga….

Berjuang Demi Kerjaya….

Hari Ini Dihargai….

 

Dimajlis Yang Indah Ini….

Penuh Seribu Makna….

Hilang Segala Lelah…

Terbayar Segalanya….

 

Bersyukur Pada Illahi…

Dengan Anugerah Ini…

Memberi Semangat Diri….

Untuk Terus Berbakti….

 

Usaha Seikhlas Hatimu…

Demi Bangsa Pertiwi….

Mencari Sesuap Rezeki….

Semoga Diberkati….

 

Terima Anugerahmu….

Khidmat Kecemerlangan….

Semoga Terus Gemilang….

Uthm Tercinta…”

 

Penerbit: Dr. Mohd Nizam Attan

 

Penulis Lirik: Rosdi Abdullah

 

Pencipta Melodi: Mohd Nazri Mohd Nawi