TERENGGANU – Kumpulan Wira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Penerangan Malaysia yang berlangsung pada 29 September lalu bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

UTHM yang mewakili negeri Johor mara ke peringkat akhir bersama empat lagi kumpulan iaitu wakil dari negeri Pahang, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kumpulan dari Selangor berjaya menumpaskan 15 negeri yang bertanding dengan meraih gelaran Johan manakala tempat kedua pula diraih oleh kumpulan dari negeri Pahang.

Kumpulan WIRA UTHM membawa naskah berjudul “Tiga Leftenan Yang Tidak Di Dendang,” karya dan arahan Rosdi Abdullah, staf Pusat Kebudayaan Universiti (PBU). Kumpulan ini dibarisi oleh Rosdi, Iskandar Naqiuddin Mohd Hisham, pelajar Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan Afiq Rahimie Sazali, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) sebagai pelakon. Mereka turut dibantu oleh tiga krew teknikal iaitu Nik Nur Azleen Nik Len, pelajar FKEE; Nurin Syarah Zahirah Afandi, pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dan Muhammad Eizlan Mohd Ali, pelajar FKMP.

Menurut Rosdi, kumpulannya amat bersyukur kerana mampu meraih tempat walaupun persaingannya agak sengit kerana wakil peserta dari negeri lain mempunyai ilmu asas berkaitan seni persembahan dan lakonan dan ada di antara mereka merupakan artis budaya.

“Melatih kumpulan ini bukan satu kerja yang mudah kerana mereka merupakan pelajar bidang kejuruteraan dan tiada asas dalam lakonan.

“Saya menyahut cabaran ini dengan mengadakan latihan secukupnya selain cuba memupuk minat dan memberi motivasi kepada mereka agar dapat memberi yang terbaik semasa persembahan,” kata Rosdi.