BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melengkapkan karakter pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (ISMPV) dalam memacu keperluan TVET negara dengan melaksanakan program Bina Insan Guru (BIGV) pada 12 hingga 14 September 2019 lalu.

Program BIGV ini merupakan salah satu program Hadir Wajib (HW) yang dilaksanakan oleh FPTV sebagai inisiatif untuk meletakkan kepentingan TVET dalam pendidikan arus perdana dengan matlamat menghasilkan lulusan TVET berkualiti lestari. Program yang melibatkan penyertaan 194 pelajar tahun satu ISMPV ini diadakan selama tiga hari, dua malam di sekitar FPTV.

Menurut Penyelaras Program BIGV, Dr. Noorazman Abd Samad program ini merangkumi tiga jenis modul iaitu Kuliah dan Teori, Fizikal dan Perkhemahan serta Khidmat Masyarakat dan Kerohanian. Modul yang dibentuk ini meliputi pelbagai aspek bagi memastikan pelajar FPTV dibentuk dari awal pengajian agar karakter pelajar TVET ini dapat digilap dengan lebih baik.

“Modul kuliah dan teori serta modul fizikal dan perkhemahan dijalankan di sekitar kawasan FPTV, meliputi 10 aktiviti secara kesuluruhannya yang mana pelajar yang terlibat akan menjalani sesi perkhemahan sekali gus menyelesaikan kesemua aktiviti yang telah dirancang oleh pihak jawatankuasa BIGV,” jelas beliau.

“Modul Khidmat Masyarakat dan Kerohanian pula, pelajar telah menjalani satu aktiviti gotong royong membersihkan halaman rumah, masjid, balai raya, surau dan juga tadika di Kampung Parit Haji Rais, Kampung Parit Jelutong dan Kampung Parit Haji Kadir, Parit Raja, Batu Pahat.

Manakala majlis penutup bagi program ini pula diadakan Sesi Bacaan Yasin bersama masyarakat di Masjid Kampung Parit Jelutong dan ceramah agama bertajuk “Andai Hari Ini Hari Terakhir Ku” yang disampaikan oleh Imam masjid UTHM, Ustaz Abdul Aziz Ahmad,” tambahnya lagi.