BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil pendekatan awal dengan mempraktikkan Work-Based Learning (WBL) kepada pelajar Sarjana Muda Teknologi bersama pihak industri iaitu EEW Malaysia Sdn. Bhd.

EEW Malaysia Sdn. Bhd. yang berpengakalan di Tanjung Langsat Pasir Gudang merupakan anak syarikat EEW Group yang berpusat di Jerman. Untuk rekod, syarikat ini telah membina kilang pengeluarannya pada tahun 2008 untuk menghasilkan variasi produk berasaskan paip keluli melalui proses kimpalan submerged-arc (SAW).

Hasil produk pengeluaran paip keluli ini digunakan di sektor paip struktur dan paip pembinaan yang bersaiz besar. Ia dikendalikan oleh pekerja mahir dan separa mahir yang terlatih dan mempunyai pasukan teknikal dan kejuruteraan yang berkelayakan.

Menurut Ketua Program Sarjana Muda Teknologi (Kimpalan), Ts. Mohd Fairuz Marian hasil perbincangan semasa Program FPTV bersama Industri EEW MALAYSIA Sdn. Bhd. berlangsung, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama menjayakan pelaksanaan WBL bagi program baru Ijazah sarjana Muda Teknologi.

“Syarikat tersebut memberi maklum balas yang cukup positif untuk membantu melaksanakan konsep WBL di industri bagi program Ijazah sarjana Muda Teknologi Kimpalan, penempatan pelajar untuk latihan industri, program latihan staf dan mengadakan sesi perkongsian ilmu berkaitan teknologi baru dalam bidang kimpalan,” ujar beliau.

EEW Malaysia adalah salah satu pembekal peralatan pipeline utama di Malaysia yang mempunyai fasiliti dan kecanggihan proses pengeluaran bagi mencapai matlamat reka bentuk dan memenuhi kehendak penyelesaian produk paip keluli yang mereka inginkan.

Teknologi kimpalan, automasi dan pemesinan terkini yang terdapat di EEW meletakkan syarikat ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas, pembinaan struktur dan paip, loji janakuasa dan LNG serta LPG.

“Inisiatif kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak FPTV dan industri bagi memastikan penambahbaikan dalam program akademik oleh universiti relevan dengan keperluan semasa dan perubahan teknologi semasa.”

“Kerjasama sebegini sekali gus dapat melengkapkan graduan UTHM dengan kemahiran terkini selari dengan tagline UTHM “We Produce Professionals,” tambah Fairuz.