Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly menyeru warga kampus untuk mengamalkan budaya ENDAH atau Care dalam melaksanakan tugasan harian bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika berlangsungnya Majlis Refleksi Setengah Tahun UTHM pada 28 Julai lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk UTHM. Majlis yang mengumpulkan warga UTHM kampus induk dan Kampus Cawangan Pagoh itu merupakan suatu wadah untuk Naib Canselor menyampaikan amanat dan visi beliau kepada warga universiti.

Dalam pertemuan kali ini, beliau menggunakan pendekatan manusiawi (human approach) dengan memberikan penekanan berkaitan peri penting sifat ENDAH dalam kalangan warga universiti. Beliau menggariskan enam aspek pengamalan budaya Endah yang mampu melonjak nama UTHM iaitu Endah terhadap Kualiti Kerja, Integriti dan Reputasi Universiti, Warga Orang Kelainan Upaya (OKU), Kesihatan, Kelestarian Sumber dan Khidmat Komuniti.

Menurut beliau budaya Endah sekiranya disemai dan diamalkan dalam diri masing-masing, ia mampu mewujudkan suasana bekerja yang harmoni dalam kalangan warga UTHM sekali gus dapat meningkatkan lagi produktiviti organisasi. Peningkatan produktiviti UTHM amat ditekankan oleh Naib Canselor bagi memastikan peranan universiti untuk masyarakat dapat dilaksanakan selari dengan hasrat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Nilai Endah merupakan satu daripada enam nilai utama UTHM (Core values) termasuklah nilai Cemerlang, Lestari, Kreatif dan Inovatif, jujur dan integriti serta Keterlibatan. Kesemua nilai ini  seharusnya menjadi amalan bersama oleh semua warga universiti.

“Saya juga ingin mengingatkan semua agar mengamalkan sikap kerjasama dan bekerja secara berpasukan untuk mencapai impian dan sasaran tahunan yang telah ditetapkan” tambahnya lagi.

Turut dibincangkan, laporan  pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2019 bagi setengah tahun yang mencatatkan beberapa rekod untuk perhatian dan tindakan seluruh warga.

Wahid dalam ucapannya juga turut merumuskan secara keseluruhannya, KPI Utama UTHM sehingga 30 Jun lalu menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, namun perhatian yang lebih perlu diberikan kepada kluster yang belum mencapai sasaran.