Ketua Pusat Kajian Tanah Lembut (RECESS), Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Dr. Nor Azizi (satu dari kiri) telah terpilih sebagai salah seorang dari empat Timbalan Presiden International Press-In Association (IPA) bagi tahun 2019 hingga 2020 ketika berlangsungnya Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada 4 Julai lalu di Shinagawa, Tokyo, Jepun.

IPA merupakan sebuah badan profesional yang diwakili oleh hampir 700 industri dan ahli akademik yang berkaitan teknologi penanaman cerucuk senyap yang diinovasikan oleh negara Jepun.

Seramai 27 Ahli Lembaga Pengarah telah dilantik bagi tahun 2019-2020 dari seluruh dunia dan Nor Azizi merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah IPA yang dilantik.

Sidang mesyuarat turut melantik tiga Timbalan Presiden yang lain iaitu Profesor Dr. Tatsunori Matsumoto dari Kanazawa University, Jepun; Profesor Dr. Leung Chun Fai dari National University of Singapore, Singapura dan Profesor Dr. David White dari Southampton University, United Kingdom.

Untuk rekod, Nor Azizi merupakan Timbalan Presiden beragama Islam yang pertama di dunia dan rakyat Malaysia yang pertama diberi pengiktirafan ini.

Menurut Nor Azizi, beliau kagum dengan kesungguhan masyarakat Jepun dalam mencipta sesuatu kejayaan.

“Mereka sanggup bekerja keras dan bersungguh-sungguh mengatasi liku-liku cabaran yang ada sehingga berjaya selain mampu bekerjasama dengan pakar-pakar dalam bidang berbeza dengan baik sekali.

“Bagi saya di Malaysia ‘Dasar Pandang Ke Timur’ perlu diberi nafas baru. Budaya positif masyarakat Jepun ini baik untuk diasimilasikan di negara kita, bahkan dalam budaya Islam dan budaya Melayu itu sendiri bagi mencorakkan kejayaan yang lebih luar biasa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UTHM dan Kementerian Pendidikan Malaysia atas sokongan yang positif untuk amanah yang dipertanggungjawabkan ini dan berharap hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun akan menjadi lebih akrab melalui penglibatan ini.