Pendaki UTHM berjaya kibar bendera di Kem Dasar Tertinggi Everest

Pasukan UTHM Everest Golden Quarter yang terdiri daripada tujuh pelajar bersama seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya merealisasikan misi mengibar...
WhatsApp Image 2018-09-18 at 12.11.53

Pasukan UTHM Everest Golden Quarter yang terdiri daripada tujuh pelajar bersama seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya merealisasikan misi mengibar bendera di Kem Dasar Tertinggi Everest pada 16 September lalu bersempena sambutan Hari Malaysia dan sambutan ulang tahun UTHM yang ke-25.

Pasukan yang diketuai oleh Dr. Nur Kamilah Yusuf  ini juga turut berjaya mencatat nama UTHM di dalam Malaysia Book of Records dengan rekod Highest Altitude Lectures Class di ketinggian 5550 mdpl. Kejayaan ini telah memberi satu nafas baharu kepada universiti dalam usaha memperkukuhkan lagi namanya di peringkat antarabangsa selari dengan usianya yang mencecah 25 tahun pada tahun ini.

Misi mengibarkan bendera jalur gemilang dan bendera sambutan ulang tahun UTHM ke-25  ini mengambil masa 10 hari pendakian bermula 7 September lalu untuk sampai ke Kem Dasar Tertinggi dunia tersebut.

Sebelum memulakan pendakian, pasukan ini juga turut menjayakan misi sampingan mereka dengan menyertai program khidmat komuniti melibatkan pemasangan lampu solar di beberapa kawasan perkampungan sekitar Kathmandu, Nepal. Projek pemasangan lampu solar yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mustaffa Ibrahim ini bertujuan untuk menerangi lorong-lorong sekitar madrasah Asyraful Ulum dan beberapa laluan untuk menuju ke kem dasar tersebut.

Menurut Kamilah, misi menawan Kem Dasar Tertinggi Everest ini merupakan hadiah paling bermakna yang ingin mereka berikan kepada UTHM dalam usaha untuk meningkatkan lagi imej dan visibiliti universiti ini di mata dunia.

Jelasnya lagi walaupun mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan misi ini, ditambah pula dengan halangan cuaca dan bentuk muka bumi yang pelbagai, semua cabaran tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk meneruskan misi sehingga berjaya.

“Cabaran paling ketara yang terpaksa kami tempuh adalah apabila berhadapan dengan hujan dan angin yang kuat serta suhu sejuk yang mencecah sehingga 2 darjah Celsius di sebelah siang, manakala malamnya pula sehingga -10 darjah Celsius,” katanya.

“Pendakian ke sana memberikan satu pengalaman yang berharga buat kami, makanya kami cuba menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin setelah mendapat sokongan dan galakan daripada pelbagai pihak antaranya daripada pihak istana dan kerajaan negeri Johor, Kementerian Pendidikan Malaysia, fakulti dan universiti mahupun ahli keluarga,” tambahnya lagi.

Mereka dijangka tiba di tanah air pada 22 September ini setelah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 19 hari berada di bumi Nepal.

 

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanKejuruteraan Mekanikal Pembuatan

RELATED ARTICLE