Sebagai Universiti Teknikal Premier berasaskan kejuruteraan dan teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyedari betapa pentingnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk bersama-sama membangunkankan negara. Universiti ini terus mengorak langkah berusaha untuk meletakkan TVET dalam pendidikan arus perdana dengan matlamat menghasilkan lulusan TVET berkualiti lestari.

Bagi memenuhi matlamat ini, UTHM telah merangka dan melaksanakan pelbagai strategi antaranya dengan menganjurkan Asia Tvet Experts Forum (ATEF) secara tahunan. Penganjuran ATEF 2018 ”Embracing TVET for Industrial Revolution 4.0” berkonsepkan forum ini merupakan kali kedua selepas penganjuran kali pertama yang diadakan pada tahun 2017. Forum yang diadakan di The Everly Hotel, Putrajaya pada  23 dan 24 Julai lalu ini diadakan sebagai platform untuk membincangkan isu-isu semasa dan penyelesaian masalah dalam TVET bagi menghadapi perubahan dan cabaran global.

Forum ini turut berperanan menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam menangani isu-isu TVET di rantau Asia Timur di seluruh dunia seperti Jerman, Thailand, Korea Selatan, Brunei, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, Indonesia, Singapura, Nigeria dan Filipina termasuk Malaysia. Dengan penganjuran forum ini, UTHM bersama organisasi dan institusi-institusi TVET lain akan meningkatkan kualiti TVET dan standard kemahiran dari pelbagai sudut institusi yang terlibat memainkan peranan dan tindakan di atas platform yang berpotensi untuk kecemerlangan kemahiran.

ATEF 2018 ini melibatkan dua sesi forum iaitu forum pertama bertemakan ”Directions of TVET in Facing IR 4.0” dan forum kedua ”Regional Collaboration in Reshaping TVET for IR 4.0.” Antara ahli panel yang terlibat adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, YB Nurul Izzah Anwar (Malaysia), Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly (UTHM), Dr. Steve McKee (LabTech International Berhad), Dr. Paryono (Brunei), Dr. Duong Thi Kim Oanh (Vietnam), Dr. Ramhari Lamichhane (CPSC,Filipina), Mr. Eric Jude Soliman (Filipina) dan Ms Cen Yong (Ningbo Polytechnic, China).

Untuk forum kali ini UTHM menerima kehadiran 73 orang pakar dan pengamal TVET dari negara seperti Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Filipina, Singapura, Pakistan, Nepal dan juga Malaysia. Selain forum, persidangan meja bulat Asia TVET Experts Network Meeting (ATEN) turut diadakan melibatkan pakar-pakar bagi membincangkan isu-isu TVET dalam meningkatkan pembangunan dasar dan pelaksanaan program yang dirancang untuk kemampanan masyarakat keseluruhannya.

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik turut menyempurnakan majlis perasmian penutup yang diadakan pada 23 Julai tempat yang sama. Majlis yang berkonsepkan makan malam itu juga turut menyaksikan sesi menandatangani 12 memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan secara serentak pada majlis perasmian penutup tersebut.

Menurut Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly pihak universiti menyedari TVET adalah penting bagi memantapkan kemahiran yang menjadi keutamaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan, pemulihan ekonomi dan pembangunan lestari.

”UTHM merupakan antara universiti yang memainkan peranan utama di pentas antarabangsa dalam bidang TVET. Dengan kekuatan tenaga pakar TVET di UTHM, penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan lagi peranan dan sumbangan UTHM sebagai universiti utama dan ulung dalam bidang TVET,” katanya.

Justeru itu, penganjuran ATEF 2018 ini diharapkan dapat merealisasikan strategi memperkasakan peranan UTHM sebagai pembekal utama tenaga pengajar bidang teknik dan vokasional di Malaysia dan antarabangsa.