44316662751_6e07a95764_bKira-kira 600 peserta yang terdiri daripada warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai larian Merdeka Fun Run yang diadakan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan 2018 yang diadakan pada 28 Ogos baru-baru ini di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Larian mengelilingi kampus sambil mengibar jalur gemilang itu diketuai oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly dan turut ditemani pegawai-pegawai kanan universiti.

Acara larian tersebut diikuti dengan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-61 peringkat UTHM yang diadakan bertujuan bagi mendidik generasi kini untuk lebih menghayati sejarah perjuangan negara dalam mencapai kemerdekaan.

Menurut Profesor Ts Dr. Wahid, universiti antara platform utama kerajaan dalam mendidik dan membina jati diri staf dan pelajar agar mempunyai semangat patriotisma yang tinggi. UTHM akan terus mengadakan sambutan sebegini setiap tahun bagi memastikan warganya benar-benar menghayati kemerdekaan dalam erti kata sebenar.

“Saya menyeru kepada warga UTHM agar mengambil contoh kesungguhan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan. Usaha mereka bukanlah suatu perkara yang mudah makanya marilah  bersama-sama berusaha untuk menjadi warganegara Malaysia yang bersyukur dan menghargai kedaulatan bangsa dan negara kita selagi tidak bertentangan dengan landasan agama,” katanya.

Turut diadakan penyerahan jalur gemilang, bendera Johor, bendera UTHM dan bendera sambutan UTHM 25 tahun kepada Pasukan UTHM Everest Golden Quarter yang akan memulakan pendakian ke Kem Dasar Tertinggi Everest bermula pada 5 September akan datang dan dijangka tiba ke kem dasar pada tanggal 16 September. Misi kembara pasukan ini adalah bagi meraikan ulang tahun ke-25 UTHM dan sambutan Hari Malaysia selain untuk melakar sejarah dan mencipta nama universiti di dalam Malaysia Book of Records.

Untuk rekod, sambutan kemerdekaan UTHM bagi tahun 2018 diteruskan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pengibaran jalur gemilang di kenderaan staf dan premis-premis sekitar kampus.