Oleh Ts. Mohd Zairil Zainal

BATU PAHAT – Kontinjen Teraju yang disertai oleh Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Pejabat Bendahari, Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Kolej Kediaman Tun Syed Nasir (KKTSN) dan Kolej Kediaman Tanpa Asrama tampil johan keseluruhan apabila berjaya meraih empat emas, dua perak, tiga gangsa dan perbarisan terbaik dalam Karnival Sukan Staf UTHM 2018 (KSS2018) yang berlangsung pada 26 hingga 29 April lalu.

”Seiring dengan tema ‘Membara Mengejar Juara,’ kami amat bersyukur dengan kemenangan ini dan berbangga kerana kontinjen Teraju telah mempamerkan semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi bagi menjuarai kejohanan ini,” kata Ketua Kontinjen Teraju, Profesor Dr. W Mohd Rashid W. Ahmad.

Manakala tempat kedua dimenangi oleh kontinjen Integriti yang diwakili oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Pejabat Pendaftar, Pejabat Penasihat Undang–Undang, Pusat Islam dan Bahagian Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE). Tempat ketiga pula dimenangi oleh kontijen Gemilang yang diwakili oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Pusat Pembangunan dan Pengembangan (P3P), Pusat Perumahan dan Pengangkutan Pelajar (P2P), Pusat Pembangunan dan Latihan Akademik (CAD), Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E), Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWJ), Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF) serta Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI).

Ahmad Syakir Mohamad Jamil daripada kontinjen Wawasan pula dinobatkan sebagai “Raja Pecut” manakala Siti Haslinda Ahmad daripada kontinjen Integriti dinobatkan sebagai “Ratu Pecut” di atas kemenangan mereka dalam acara larian 100 meter lelaki dan wanita.

Sementara itu Pengerusi KSUTHM, Profesor Dr. Yusri Yusof juga melahirkan rasa gembira kerana penganjuran KSS2018 tahun ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada warga UTHM terutamanya  Naib Canselor, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly serta seluruh kepimpinan universiti.

“Selaku pengerusi kelab, saya berasa agak lega apabila konsep KSS2018 yang baru sahaja diperkenalkan ini dapat diterima dan mendapat sambutan cukup baik dalam kalangan warga sepanjang karnival ini berlangsung. Justeru itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan acara sukan staf terbesar ini, ” tambahnya lagi.

Untuk rekod, KSS2018 anjuran Kelab Staf UTHM (KSUTHM) dengan kerjasama Pusat Sukan telah dilancarkan oleh Naib Canselor pada 10 April lalu bertempat di Stadium UTHM bagi memupuk budaya sihat dalam kalangan staf, dengan mengamalkan aktiviti bersukan dan sebagai persediaan atlet UTHM menghadapi Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2018 di Universiti Malaysia Pahang.

Sebanyak 12 acara sukan telah dipertandingkan sepanjang KSS2018 berlangsung yang melibatkan staf daripada UTHM Kampus Induk dan Kampus Pagoh. Menariknya, acara sukan olahraga turut dipertandingkan pada kali ini sekali gus menjadi acara tumpuan di karnival yang berlangsung penuh meriah ini.