Penyelidik UTHM terima projek perundingan bernilai RM147 ribu

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menjadi pilihan industri bagi mendapatkan khidmat perundingan pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian alam sekitar apabila menerima projek perundingan bernilai RM147 ribu baru-baru ini.

Projek ini adalah antara hasil memorandum perjanjian (MoA) yang telah ditandatangani oleh UTHM bersama COMMTEQ (M) Sdn. Bhd. pada 26 Disember yang lalu. Menerusi MoA ini, para penyelidik di di bawah Pusat Penyelidikan (CoR),Center for Energy and Industrial Environment Studies (CEIES) bekerjasama dengan COMMTEQ dalam membangunkan projek berkaitan perubahan iklim, khususnya dalam menangani pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gas emission).

Surat lantikan perunding telah diserahkan kepada Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM pada 15 Mac lalu.

Projek perundingan ini amat penting bagi mendukung komitmen negara bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40% menjelang tahun 2020, seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia di persidangan UN Climate Change Conference (COP 15) pada Disember 2009 di Copenhagen, Denmark.

Projek yang memakan masa selama 10 bulan ini akan diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mas Fawzi Mohd Ali bersama tiga penyelidik lain iaitu Dr. Mohammad Kamil Abdullah, Dr. Akmal Nizam Mohamed dan Dr. Mohd Faizal Mohideen Batcha. Projek ini akan merangkumi beberapa aspek dalam pembangunan iaitu pembangunan rangka kerja (framework), pembangunan metodologi dan piawaian, kajian lapangan dan validasi serta kaedah pengurangan pelepasan gas rumah hijau di Malaysia. Apabila projek ini selesai dibangunkan, UTHM akan menjadi pakar rujuk dalam bidang ini di peringkat nasional secara khususnya dan di rantau Asia Tenggara secara amnya.

Menurut Pengarah COMMTEQ, Abdul Rashid Shoib, UTHM menjadi pilihan untuk mendapatkan khidmat perundingan kerana kepakaran, komitmen dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh para penyelidiknya di dalam projek sebelum ini.

Untuk rekod, COMMTEQ juga telah menyumbang dana penyelidikan sebanyak RM40 ribu kepada penyelidik CEIES pada Januari lalu untuk pembangunan Vertical Axis Wind Turbine (VAWT).

Categories
Penyelidikan dan Inovasi
Subscribe