Kuala Lumpur, 24 Feb – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meraih lima pingat melibatkan satu pingat emas, satu pingat  perak dan tiga pingat gangsa di Malaysia Technology Expo (MTE) 2018. Lebih membanggakan lagi Dr. Norfaiza Fuad dari Jabatan Kejuruteraan Komputer, Fakulti Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik telah memperoleh kejayaan apabila telah menerima Anugerah Khas IFIA (International Federation of Inventors’ Associations).

 MTE 2018 merupakan penganjuran kali ke 17 yang bertemakan  “Asia’s Inventions and Innovations Marketplace” ini menyediakan platfom yang ideal untuk pencipta, pereka dan usahawan untuk mempamerkan ciptaan, idea, prototaip, produk dan reka bentuk terbaru mereka kepada pelabur, pengilang, pengedar dan pemasar sama ada di dalam dan di luar negara dengan mengenalpasti idea-idea baru yang dihasilkan oleh universiti, institut penyelidikan, sekolah teknik dan vokasional, sekolah menengah, organisasi swasta dan pencipta individu.

MTE 2018 yang dianjurkan bersama oleh PROTEMP Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd dan Malaysian Association of ResearchScientists (MARS) telah  disempurnakan oleh Profesor Dato  Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang. Turut hadir, Profesor Dr. Rahmah Othman, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Islam Antarabangsa dan Dr. Mohd Hafiz Jamaludin, Pengarah Perundingan, Harta Intelek dan Pengkomersilan (CICO), Universiti Malaysia Kelantan dan beberapa Timbalan Naib Canselor dan Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Awam.

Pertandingan kali ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Invention & Innovation Awards, Malaysia International Design Expo & Awards dan Asian Youth Innovation Awards & Expo  dan  Stem Mentor-Mentee Awards. Ia menawarkan sebanyak 54 pingat emas, 83 pingat perak, 116 pingat gangsa dan 42 anugerah khas. Pertandingan ini juga  telah menarik minat penyertaan beberapa buah negara luiar seperti Indonesia,Taiwan, Croatia dan negara Arab.

Penyertaan UTHM ke MTE 2018 merupakan langkah terbaik bagi para penyelidik untuk mendapat pengiktirafan, mempromosi serta mengkomersilkan teknologi dan inovasi terbaharu yang dihasilkan  oleh pereka cipta dan penyelidik di peringkat antarabangsa dan pasaran global. Ia diharapkan dapat menjadi batu loncatan kepada penyelidik universiti untuk mengkomersilkan teknologi-teknologi yang dihasilkan serta mendapat pengiktirafan dan akan terus berjaya lagi di masa hadapan.