UTHM raih 5 pingat dan Anugerah Khas IFIA di MTE 2018

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menggondol anugerah khas International Federation of Inventors’ Associations (IFIA) selain berjaya meraih lima pingat dalam Malaysia Technology Expo 2018 (MTE2018) yang berlangsung...

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menggondol anugerah khas International Federation of Inventors’ Associations (IFIA) selain berjaya meraih lima pingat dalam Malaysia Technology Expo 2018 (MTE2018) yang berlangsung di Putra World Trade Center (PWTC) pada 22 hingga 24 Februari lalu.

Anugerah khas tersebut diperolehi melalui produk “3D EEG Feature Extraction for Brain Balanced Index (BBI) Using Artificial Neural Network (ANN)” hasil ciptaan Dr. Norfaiza Fuad dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE). Sistem yang dibangunkan bagi tujuan memantau dan meneliti keadaan kualiti gelombang otak manusia serta berupaya diaplikasikan dalam pemantauan pesakit strok ini berjaya merangkul pingat Emas dalam pameran antarabangsa tersebut.

Untuk penyertaan kali ini, UTHM menghantar lima penyertaan melalui lima orang penyelidik iaitu Profesor Madya Dr. Soon Chin Fhong, Dr. Noorsaliza Abdullah, Dr. Mohd Nasrull Abdol Rahman, Profesor Madya Dr. Mustaffa Anjang Ahmad dan juga Dr. Norfaiza Fuad. Secara keseluruhannya, daripada lima penyertaan tersebut UTHM berjaya meraih satu anugerah khas, satu pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Menurut ketua delegasi pameran, Profesor Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor pihak UTHM sentiasa berusaha menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada agensi kerajaan, masyarakat dan industri selari dengan penekanan Kementerian Pengajian Tinggi terhadap kepentingan konsep Translational Research di Malaysia.

“Selain mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UTHM, peluang ini juga digunakan untuk mencari rakan kerjasama strategik bagi produk dan teknologi yang dibangunkan. Melalui rakan strategik ini, diharapkan setiap kerja penyelidikan dan inovasi yang dijalankan dapat dikomersilkan dan seterusnya memberi manfaat kepada golongan sasaran,” katanya.

Sementara itu, Dr. Norfaiza turut melahirkan rasa terima kasih kepada pihak UTHM yang memberi peluang kepadanya untuk menyertai MTE 2018 kali ini dan diharapkan melalui kerjasama sedia ada dengan Pertubuhan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), sistem ini dapat ditambah baik lagi dan seterusnya dibawa ke peringkat pengkomersilan di masa hadapan.

ifia1 ifia3

Categories
Anugerah, Pencapaian dan Pengiktirafan

RELATED ARTICLE