BATU PAHAT: Menjelang hampir dua tahun penubuhan, Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah atau lebih dikenali sebagai TRANSFORM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) semakin agresif meluaskan rangkaian kerjasama di peringkat antarabangsa khususnya di Indonesia.

Pada 15 hingga 20 Oktober 2017 lalu TRANSFORM yang diterajui oleh Pengarah, Profesor Dr. Rosman Md Yusoff; Timbalan Pengarah, Profesor Madya Dr Abd Rahman Ahmad dan Felo TRANSFORM, Dr. Khairunesa Isa bersama tiga orang pembantu penyelidik telah berkampung di Makassar Sulawesi Selatan bagi melaksanakan beberapa tuntutan program. Kunjungan kali ini juga turut disertai oleh 14 orang Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor (JCS) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ), Tuan Haji Ismail Abu.

Kedatangan TRANSFORM di Makassar Sulawesi Selatan telah memberi impak kepada UTHM dan warga Sulawesi Selatan kerana pelbagai aktiviti dalam rangkaian kerjasama antara UTHM dan Kantor Pemerintah Gubernur Sulawesi Selatan (SULSEL) dapat dijalankan malah TRANSFORM turut berjaya membuka beberapa lagi pintu kerjasama bersama universiti lain di Makassar.

Bermula 16 Oktober, TRANSFORM yang diwakili oleh Pengarahnya telah menerima jemputan dari Rektor Universitas Muhammadiyah Makassar (UNISMUH). Turut hadir dalam perjumpaan yang diadakan di Bangunan Rektorat UNISMUH ialah pegawai-pegawai kanan UNISMUH, dekan-dekan fakulti dan Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor (JCS). Selain daripada kunjungan hormat, perjumpaan yang melibatkan UNISMUH, TRANSFORM dan Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor ini lebih memfokus kepada bentuk kerjasama yang bakal dilakukan pada masa akan datang.

Melengkapkan lagi kunjungan TRANSFORM ke UNISMUH, Profesor Dr. Rosman telah dilantik sebagai nara sumber (pengucaptama) dalam kuliah umum yang dianjurkan oleh Fakultas Pertanian UNISMUH. Dengan tema ‘Modal Sosial untuk Pengembangan Agribisnis Masyarakat ASEAN’, Profesor Dr. Rosman telah memperkenalkan model 4M + 1M yang dibangunkan bersama Dr. Khairunesa dalam kuliah yang disampaikannya.

“Masyarakat Asia perlu bersedia dari aspek 4M + 1M untuk berhadapan dengan perubahan sosial yang akan berlaku agar dapat bersaing dalam ekologi Masyarakat Ekonomi ASEAN (MEA) lebih-lebih lagi dalam dunia menuju Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Kuliah umum yang berlangsung selama hampir dua jam itu dihadiri kira-kira 150 mahasiswa jurusan pertanian, dekan dan wakil-wakil dekan fakulti mendapat sambutan kerana beliau menggunakan contoh-contoh tempatan berdasarkan kajian-kajian ke atas masyarakat Bugis-Makassar yang dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, TRANSFORM turut dijemput untuk berbincang dengan Dr. M. Iqbal S.Suhaes, Kepala Badan, Badan Penelitian dan Pengembangan Daerah (Balitbangda) Sulawesi Selatan berkaitan aktiviti-aktiviti kerjasama pada masa hadapan.

Pada 17 dan 18 Oktober 2017, TRANSFORM telah mengadakan persidangan International Conference on Social Transformation and Regional Development (ICoSTRD 2017) iaitu seminar pertama anjuran institut tersebut dengan kerjasama Universitas Hasanudin (UNHAS) dan Kantor Gubernur Sulawesi Selatan (SULSEL). Seminar yang dihadiri oleh 40 orang pembentang kertas kerja dan hampir 50 orang peserta yang kebanyakannya dari seluruh Indonesia dan Malaysia itu telah dirasmikan Gubernur Sulawesi Selatan iaitu Yang Mulia Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, S.H, M.H,. Dengan tema Transforming Social and Regional Development, ICoSTRD 2017 turut mendapat sentuhan hebat daripada Datuk Dr Anis Yusal bin Yusoff, Presiden dan CEO Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) melalui ucaptama beliau yang banyak menekankan pentingnya elemen integriti dalam mendepani perubahan sosial yang berlaku.

Seminar antarabangsa yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Abd. Rahman Ahmad turut dihadiri oleh Rektor UNHAS, Profesor Dr. Dwia Aries Tina Pulubuhu MA, wakil-wakil rektor dan dekan fakulti di UNHAS, Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor (JCS), peserta antarabangsa dan dari Indonesia khususnya pasca ijazah UNHAS.

Kunjungan TRANSFORM ke Makassar lebih bermakna apabila Pengarah TRANSFORM, Profesor Dr Rosman Md Yusoff telah tersenarai dalam 20 penerima anugerah Tokoh Sumbangsih Sulawesi Selatan sempena Sambutan Hari Jadi Makassar yang ke 348 tahun. Anugerah yang diterima beliau merupakan anugerah tertinggi dari pemerintah Sulawesi Selatan iaitu anugerah Warga Kehormatan Sulawesi Selatan yang membawa gelaran I Tinulu’ Daeng Mannutungi. Penganugerahan yang diterima oleh Profesor Dr Rosman dilihat sangat signifikan berikutan kejayaan beliau membuka jalan kolaborasi antara dua institusi dan negara.

prof rosman