Kumpulan Kebudayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terdiri dari para pelajar Kelab Warisan Unit Kebudayaan Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menyertai Festival Langgam Tari Nusantara Peringkat Antarabangsa yang berlangsung pada 26 hingga 30 April lalu bertempat di Institut Seni Indonesia, Padang Panjang.
Festival tari ini melibatkan 15 persembahan melibatkan negara seperti Australia, Thailand, Singapura, Malaysia dan beberapa buah daerah di Indonesia seperti Yogyakarta, Bengkulu,  Jambi, Sukarta, Bandung, Jakarta, Pekan Baru Riau dan Padang Panjang.
Sempena memperingati Hari Tari Sedunia ISI Padang Panjang menyelenggarakan Festival Langgam Tari II bertempat di Panggung Pertunjukan Horidjah Adam ISI. Festival yang bertemakan “Konstruksi Gerak Akar Tubuh” ini telah disempurnakan oleh Rektor ISI Padang Panjang,  Profesor Dr. Novesar Jamarun, MS.
18 kumpulan berjaya membuat persembahan yang sangat mengagumkan dan mendapat sambutan yang luar biasa termasuk dari Malaysia yang diwakili oleh Rosdi Abdullah dari UTHM, Ronnarong Khampha (Thailand), Dinie Dasuki Osman (Singapura), Joshua Lowe (Australia), Alfiyanto (ISBI Bandung), Ayu Permata Sari (Yogyakarta), Astri Kusumawardani & Wirastuti Susilaningtiyas (Surakarta), Syahril Alek (ISI Padangpanjang), Fitra Airiansyah (ISBI Aceh), A.A Citrawati (ISI Padangpanjang), Nurmalena (ISI Padangpanjang), Venny Rosalina (Payung Sumatera Dance Theatre Bengkulu), Syafmanefi Alamanda (AKMR Pekanbaru- Riau), Eva Riyanti (ISI Padangpanjang), Jefriandi Usman (Jakarta), Wahida Wahyuni (ISI Padangpanjang), Denny Maiyosta ( UNJA- Jambi) dan Hadi Yusra (HMJ Prodi Seni Tari ISI Padang Panjang).
Panggung pertunjukan Hoeridjah Adam ISI Padang panjang di penuhi penonton setiap hari untuk meyaksikan karya – karya hebat dari koreografer terkemuka setiap negara. Turut diadakan semasa festival berlangsung,program  bual bicara tarian dan Master Class oleh pengajar dari setiap negara dalam acara Festival Langgam Tari Nusantara 2017 ini.
Kumpulan Kebudayaan UTHM telah memberi persembahan yang penuh bertenaga disertakan dengan idea dan teknik menarik apabila diberi peluang sepentas dengan penari dan koreografer terkemuka antarabangsa.
“Festival tari Nusantara kali kedua ini membawa tema ‘olah tubuh’ yang mengasaskan bentuk olah tubuh di dalam karya koreografi dan bentuk tarian. Berbekalkan kebolehan para penari yang sudah mahir mengolan tubuh dan membuat gerakan yang menguji gerakan tubuh, maka kerja – kerja koreografi menjadi lebih mudah dan saya cukup terterima kasih kepada para penari iaitu Zulhazmi, Yusri dan Herol kerana berjaya membuat gerakan dari idea mereka sendiri pada bahagian “solo” persembahan mereka,” kata “Eddy Rusdi” yang bertindak sebagai Ketua Kumpulan untuk persembahan dari Malaysia yang bertajuk “Relationship Johor ke Kuala Lumpur”.
Tujuh peserta dari Malaysia iaitu Encik Rosdi Abdullah, staf dari Unit Kebudayaan UTHM serta Zulhazmi, Yusri, Fauzi, Herol, Arbain dan Nazmi merupakan Pelajar UTHM dari pelbagai bidang dan fakulti, kesemuanya adalah dari jurusan kejuruteraan di UTHM, meminati bidang seni tari dan menjadikan bidang tarian ini bukan sekadar minat malah boleh dijadikan kerjaya kedua mereka kelak.
“Kumpulan tarian UTHM sebelum ini pernah membuktikan kejayaan mereka di Festival dan pertandingan dalam Malaysia apabila pernah memenangi anugerah utama dan anugerah khas juri. Selangkah lagi diterokai apabila membawa nama Malaysia dan UTHM ke peringkat antarabangsa. Peluang yang jarang diterima oleh UTHM dalam bidang yang bukan berbentuk kejuruteraan seperti ini adalah peluang keemasan yang sangat membanggakan UTHM apabila dapat mengharumkan nama negara dan UTHM di peringkat antarabangsa,” Kata Timbalan Pendaftar Pejabat HEP,Encik Azlan Wanti.