Batu Pahat – Seramai 20 penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diterajui oleh penuntut Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah melaksanakan mobiliti outbound ke Seoul, Korea Selatan pada 13 hingga 18 April lalu.
Menerusi penjenamaan ‘Korean Education Trip 2017 (KET 2017),’ antara objektif program ke Korea ialah berkongsi hasil penyelidikan, mencari skop penyelidikan baru bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET) dan membina keyakinan diri dalam berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa.
Penuntut UTHM menjadikan slogan ‘Soaring Upwards’ yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Sri Idris Jusoh sebagai sumber inspirasi dan motivasi semasa membentangkan cadangan dan hasil penyelidikan masing-masing di Korea Research Institute for Vocational Education and Training (KRIVET). Pengarah Center for Global Cooperation, KRIVET, Dr Hwang, Gyu-hee telah memberi maklum balas positif terhadap kerja-kerja penyelidikan yang telah dibentangkan oleh penuntut UTHM.
Antara bidang kajian tersebut ialah Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Mekanikal. Selari dengan maksud ‘Soaring Upward’ iaitu peningkatan berterusan, peserta mobility meneroka skop penyelidikan yang baharu bersama mahasiswa Seoul National University selain turut menemui idea-idea penyelidikan baharu semasa mengunjungi Masjid Itaewon, Seoul Namsan Tower, Namdaemun Market, Nami Island, Dongdaemun dan Gwanghamun Square.
Sebagai contoh semasa di Pulau Nami, peserta mobiliti berbincang berkaitan peri pentingnya menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi hijau. Idea penyelidikan teknologi hijau juga tercetus apabila menemui produk dan papan-papan iklan semasa membeli belah di Namdaemun Market dan bersiar-siar di Seoul Namsan Tower yang memaparkan elemen, ‘Green Techology’.
Seperkara yang mencetuskan rasa kagum dalam kalangan peserta mobiliti ialah ketepatan ramalan cuaca di Korea Selatan. Selama dua hari hujan benar-benar turun sebagaimana yang diramalkan pada hari sebelumnya. Situasi tersebut juga mencetuskan ilham kepada peserta mobiliti terbabit untuk menjalankan penyelidikan berkaitan ketepatan dalam meramal cuaca.
Mereka juga merealisasikan ‘Soaring Upwards’ atau peningkatan berterusan dalam konteks komunikasi menggunakan bahasa asing selain daripada bahasa Inggeris. Penuntut yang mempunyai asas bahasa Korea menerusi kursus Bahasa Korea yang mereka ikuti di UTHM telah mencuba berbahasa Korea dengan orang-orang Korea yang mereka temui. Selain daripada itu, mereka turut mempelajari budaya orang Korea daripada segi makanan seperti kimchi dan pakaian tradisional Korea, Hanbok.
Pensyarah Pengiring Profesor Dr Ahmad Esa, yang juga merupakan Dekan FPTV berkata, Mobiliti Ke Korea kali ini mempunyai kelainan kerana selain daripada melakukan kerja-kerja penyelidikan dan latihan membina keyakinan dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Korea, peserta mobiliti juga melakukan kerja-kerja Cooperate Social Responsibility (CSR), khususnya di Masjid Itaewon, Seoul, Korea Selatan.”
“Selain daripada membantu membersihkan ruang solat wanita, mereka turut menyumbang sebanyak RM2500 (609,756 Won), sejadah dan telekung hasil daripada sumbangan dermawan dari Malaysia yang telah diusahakan kutipannya semenjak 2016 lagi.”
“Mereka juga mempelajari strategi perniagaan dan ciri keusahawanan semasa melawati pasar Nandaemun dan Dongdaemun. Ketelitian peniaga kerongsang dalam memastikan kualiti produk yang dijual sangat terkesan di hati program mobiliti KET 2017,” katanya.
Ketua program KET 2017, Adib Farhan pula menyatakan mereka benar-benar melakukan ‘Soaring Upwards’ dalam memastikan survival hidup di negara Korea Selatan.
“Harga makanan yang agak mahal berbanding di Malaysia memerlukan kami bekerja dalam kumpulan untuk menyediakan makanan dan merancang pembelian sebelum berbelanja. Sewajarnya program motivasi bercorak mobiliti ke luar negara ini diperbanyakkan berbanding dengan program motivasi yang sekadar menguji daya tahan fizikal pelajar menerusi program-program perkhemahan atau aktiviti luar di luar kampus,” katanya.
Menurut Adib lagi, ‘Kami bekerja keras dalam berhadapan cabaran untuk merealisasikan KET 2017. Selama lebih setahun kami bertemu dengan ramai orang untuk memohon sumbangan sama ada menaja program KET 2017 mahupun memberi sumbangan kepada masyarakat Islam di Korea dengan semangat Soaring Upward. Kami tidak boleh mengalah tetapi berusaha untuk meningkatkan jumlah kutipan secara berterusan. Di Seoul pula demi untuk menjimatkan kos, kami menggunakan kenderaan awam dan ini benar-benar mengajar kami dengan kemahiran menyelesaikan masalah.’
Program KET 2017 juga disertai oleh penuntut daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan selain daripada penuntut Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah. Program telah mendapat tajaan daripada Yayasan Pelajaran Johor, Pau Mira, Emy Dahlia dan Tuah Maisarah selain daripada individu perseorangan.